Wednesday, November 11, 2009

Happy Birthday SAYANG!

MY DEAREST LOVE, KSMS...

Baru sahaja mengucapkan selamat dan menuntut hadiah (birthday orang pun aku gak dapat hadiah!) dari KS yang sedang dalam perjalanan pulang ke Dubai dari Oman.

"Sebelum kredit Lily habis Lily nak beritahu tujuan Lily call ni..."
"Hmm..."
"Happy Birthday Abang..."
TOT! Hampeh punya Maxis (Digi gak bagus dalam kes ni) terus habis kredit gue. Tu la mukadimah panjang sangat lembu la, masjid la, rendang la, sambal kicap nak dieksport ke Kelantan la...
"Lily nak mintak hadiah ni, boleh tak?"
"Boleh sayang, nak hadiah apa?"
"Lily nak hadiah *****"
"Yang itu Lily memang akan dapat."
"Tapi Lily nak ASAP"
"Abang tau, sabar sayang... very soon tapi abang pun nak mintak hadiah dari Lily..."
"Aik? Nak hadiah pulak selalu takmo?"
"Nak! Abang nak hadiah... Lily sayang abang, akan sayang abang banyak-banyak..."
"Dulu abang ajar Lily jangan sayang orang banyak-banyak, sayang sikit aje."
"Kenapa abang cakap gitu ehh?"
"Entah! tapi Lily rasa abang takut Lily cabut, so abang takdelah frust nonggeng." jawabku sambil sempat menyingkap kenangan lama kenapa KS cakap macam tu. Dia lihat betapa aku sengsara sejak N pergi, telinga dan matanya mendengar dan melihat dengan tekun betapa aku sukar untuk melupakan N...lalu KS mengeluarkan fatwanya...dan mula merawat kecederaanku yang parah. KS ada banyak fatwa okay... mujur tok sedara dia dah takde power kat JPM kalo tak ada chance KS jadi lebai...wakakaka...

Itulah KS yang aku kenal, sejak mula sudah bermacam perkara yang ditarbiahkannya. Dan kini ada waktunya aku pulak bagi dia ceramah free.

Abang, Lily sayang abang sebagaimana dan sebanyak mana abang sayang Lily. Dan Lily tetap akan di sini selagi abang perlukan Lily dalam hidup abang.

Tak boleh nak bayangkan hidupku nanti tanpa KS...dan aku tak mahu membayangkannya. Sehingga beberapa waktu lagi sampai dia pulang, aku mahu bahagia-bahagia sahaja. Hidup sederhana dengan lelaki yang sederhana.

HAPPY BIRTHDAY SAYANG, semoga cintaku dalam rahmatMu sentiasa....aminn...

Monday, November 9, 2009

Bila orang sudah tidak ada rasa malu...

Seperti yang dijanjikan hari ini saya akan menulis kisah yang terjadi di sebuah BP. Tulisan ini agak sensitif dan bisa-bisa aja menyeret saya ke dalam tapi saya tulis ni bukan untuk membuka pekung sesiapa tapi demi moral dan harga diri manusia.

Ketika abang saya mula-mula menceburkan diri dalam perniagaan ini dia mengeluh kerana terpaksa mengeluarkan duit yang tak sepatutnya dia keluarkan. Saya tanya kenapa kasi, jangan kasilah... tapi abang saya cakap kalau tak kasi nanti kerja jadi susah lagipun semua orang kasi, kalau kau tak kasi kerja boleh settle satu jam akan jadi 3-4 jam.

Abang saya kata lagi besar orangnya lagi besarlah jumlah wang yang perlu dikeluarkan. Ya ALLAH, HALAL ke duit tu bagi makan anak bini???

Pleaselah buka mata hati tu, apa hukumnya ambil rasuah. ITU RASUAHKAN NAMANYA? Kalau bukan rasuah, apa perkataan yang bisa menghalalkan perbuatan itu?

EMAK SAYA PESAN KALAU NAK HIDUP SENANG DAN TENANG, SOLAT JANGAN TINGGAL. KALAU NAK REZEKI SECUPAK JADI SEGANTANG SOLAT JANGAN TINGGAL. EMAK SAYA TAK ADA PULAK PESAN KALAU NAK SENANG AMBILLAH RASUAH!

Sebab itu emak saya haramkan kami adik beradik bekerja disektor-sektor yang memungkinkan kami terbabit dengan gejala rasuah. Macam manalah orang kita nak maju kalau untung 100 belum tentu tapi kena pau lebih dari itu. Macam manalah orang kita nak sama gah dengan bangsa lain kalau yang MUKA TAK MALU MINTAK DUIT SOGOK itu sebangsa dengan kita. Beberapa teman saya yang menjalankan perniagaan sebagai kontraktor kecil juga mengeluh, KALAU TAK HULUR PROJEK TAK DAPAT.

Semua ini bukan benda baharu, dah jadi sebati dengan masyarakat sampaikan orang terpaksa beri untuk meneruskan kehidupan.

"You berapa lama semua settle?"
"Sekejap ajelah... tak sampai dua jam pun."
"Cilaka! Hari tu I kena, empat jam wooo. Dia buat tak layan aje, itu taiko-taiko masuk arr, semua dapat dulu..."
"Hehehe... I tahu, actually hari ni I baru tau. I dapat cepat sebab I pun pakai cable taiko tapi itu 'orang' benganglah sebab tak dapat dari I. Dia siap panggil taiko yang temankan I tu mintak wooo... tapi itu taiko cakap I sendiri drive"

Saya bukan mereka cerita. Ini kisah benar. JANGAN tangkap saya andai saya mungkin memalukan mereka-mereka yang terasa tapi PERGI TANGKAP mereka-mereka yang tidak jujur dalam menjalankan tugas.

"Dia pakai badge tapi dia tak nampak" suara anak buah saya.
"Nanti cik belikan cermin besar jadi dia orang boleh baca SAYA ANTI RASUAH tu!" jawab saya.

Kat mana letaknya harga diri andai boleh dibeli dengan wang? Kalau rasa gaji tu kecik carilah kerja yang lebih menguntungkan, berniaga pasar malam ke... weh, jual air kat pasar malam pun boleh beli HONDA CIVIC HYBRID hokkay! Never underestimate people!

Cik SLK warna biru sudahpun keluar dari hospital dan saya masih memandu macam orang baru dapat lesen. Masih fobia nak tekan brek sampai saya cakap kat abang brek saya tak makan. Insya Allah sabtu ni kami nak buat kenduri doa selamat.

Saya harap tulisan saya ini tidak menyukarkan mereka-mereka yang mencari makan dengan kerja-kerja yang tersebut di atas (terpaksa beralas demi kebaikan beberapa individu)

p/s: masih terngiang-ngiang dialog..."bang! bang!..." panggil orang itu meminta ehem, ehem... "dia drive sendirilah, kereta dia tak teruk...boleh drive..."

Monday, November 2, 2009

Saya diganggu!!!

Hampir dua minggu saya diganggu oleh seorang lelaki. Tiap tengah malam dia akan menelefon saya berkali-kali. Dia juga akan menghantar teks jika saya tidak menjawab panggilannya. Dalam banyak-banyak kali dia menelefon saya hanya menjawab panggilannya itu sebanyak dua kali. Pengalaman saya bekerja sebagai PA dan travel administrator menjadikan saya sangat alert dan sudah biasa dengan panggilan tengah malam kerana saya menjaga beberapa staff yang bertugas di luar zon waktu. Tapi dengan kerja baharu ini saya tidak lagi memberi khidmat sedemikian, tidur malam juga lena kerana saya tidak lagi risaukan manusia-manusia di Spain, di Azerbaijan, Mongolia, Dubai, Oman, Kuwait etc, etc...

Pada mulanya lelaki ini hanya miscalled, saya fikirkan nombor asing itu milik anak buah saya yang kerap bertukar nombor. Saya telefon semula (sangat prihatin gitu). Suara lelaki itu bertanyakan how are you? Sah bukan anak buah saya. Sejak dari itu saya tidak menjawab panggilannya lagi dan dia mula menghantar teks yang bodoh. Saya jadi hilang sabar, akhirnya saya jawab juga panggilannya. Suara lelaki itu seakan suara orang India, namanya Rafael kalau tidak silap saya. You have very sexy voice katanya (KEPALA HANGGUK KAU!) Saya tanya dia dari mana dia dapat nombor saya, dia jawab I just try my luck! (SETAN JEK JAWAPAN!)

Saya terus matikan talian. Dia mungkin lelaki GILA SEKS yang sedang MEROYAN. Dan dia masih mengganggu saya sehingga malam tadi. Begitu juga dengan kiriman teksnya yang amat mengganggu antaranya, I am trying so hard to get you (WTFH!)

Ini bukan kali pertama saya diganggu oleh panggilan sedemikian. Dahulu saya pernah diganggu oleh budak sekolah yang teringin nak menghisap susu agaknya. Bertanyakan saiz buah dada saya (KESIAN SUNGGUH BUDAK ITU!). Sekarang dia sudah tidak telefon lagi kerana setiap kali dia call saya akan tinggalkan pesanan yang amat kejam bunyinya: ANDA MUNGKIN DILAHIRKAN OLEH SEEKOR KHINZIR KERANA ITU PERANGAI ANDA TIDAK SERUPA MANUSIA :)

Maaf kata-kata itu amat kesat. Saya bukan bidadari yang sentiasa menuturkan kata-kata syurga, sesekali bila marah saya datang... tahan sahajalah telinga kerana anda mungkin akan jadi torek, menangis tergolek-golek dengan ayat-ayat saya yang sangat KEJAM!

P/S: sedang menghitung hari hendak mengajar seorang perempuan dan seorang lelaki dewasa bahana orang lain sudah jelek (akulah jua yang jadi mangsa!) hadooiii...



Sunday, November 1, 2009

Met Teddie

IFTS nama panjang yang saya kenal ketika saya menuntut di sebuah sekolah kemahiran. Dia stalker saya selama setahun sebelum dengan beraninya mengurat budak sombong lagi berlagak yang pakai baju biru ini. Saya hanya pernah bercerita mengenainya sekali sahaja di blog ini kerana impaknya dalam hidup saya tidak seperti saya mengenali Munchen aka N. Apapun kami berdua melalui perjalanan yang manis tidak kurang sedih.

Kawan-kawan sekolah panggil dia Ted. Ibunya seorang guru di PG manakala ayahnya seorang anggota polis. Dia ada 3 orang adik beradik yang punya nama yang unik. Perkenalan saya dengan Ted merupakan mukadimah Rahsia Hati Sofia. Peristiwa yang berlaku di sekolah itu adalah kisah manis kami berdua.

Ted tinggal di asrama, saya juga pernah tinggal di asrama namun atas beberapa faktor saya mengambil keputusan jadi outsider. Peristiwa kami difitnah oleh rakan-rakan merupakan kisah paling sedih yang tidak sepatutnya berlaku. Bilik asrama saya berhadapan dengan surau lelaki di mana kami selalu berbahasa isyarat. Saya diasingkan dari kelas dan belajar di bilik pengawas selama seminggu! Ketika kami mengambil peperiksaan SPM, saya dan Ted duduk bersebelahan dan kami tidak lagi bercakap dek peristiwa itu. Cikgu mahu saya jauhi Ted kerana dia merasakan Ted tidak layak buat saya, dia budak lelaki yang tiada masa depan.

Siapa kata? Cikgu bukan Tuhan!

Ketika saya melanjutkan pengajian di sebuah kolej private, Ted berada di Selangor dan menjalani latihan kejuruteraan aeronautik. Dia bekerja dengan sebuah agensi aeronautik dan sering pulang ke JB dengan tambang murah gila babeng.

Ted bukan cinta monyet saya biarpun waktu itu kami terlalu muda untuk bercinta. Saya tahu Ted boleh jaga saya waktu itu. Bila keluarga membuat keputusan bagi pihak saya, Ted berhari-hari menelefon saya, memujuk saya menerimanya semula. Malah Ted telah meminta rakan baiknya Kudin untuk memujuk saya. Hari-hari Ted telefon saya tapi apa yang boleh saya katakan, biarpun kami tidak bersama tapi ikatan persaudaraan yang telah sedia terjalin itu akan tetap mengikat kami.

Dan tadi, di rumah arwah bapa saudara saya, saya jumpa Ted. Dia sedang mendukung anaknya. Saya, Arifah dan Halim sedang menjamu selera waktu itu tapi biasalah perempuan kerek macam saya mana nak tegur orang. Semuanya sudah lama berakhir tidak manis kalau kami saling menyapa kerana keluarga tahu kisah kami. Mujur juga kami tidak jadi kahwin kerana Ted sekarang dah boroi! Muka dia berjerawat dan tak smart macam dulu... hihihi...

Kisah manis di atas bukit dahulu akan saya bukukan suatu hari nanti :)

Tuhan telah makbulkan doa saya untuk bertemu dengan Ted, rasanya bagai merentas mesin masa yang membawa saya kembali ke sekolah sehingga ke hari ini. Bilakah agaknya Tuhan akan aturkan pertemuan saya dengan orang yang pernah saya labelkan sebagai LELAKI YANG PALING KU DAMBA dalam hidup? Ia mungkin tidak akan berlaku kerana N telah mengasingkan dirinya dan dia pasti tidak akan ambil risiko seandainya dia tahu saya juga akan turut berada di sana!

p/s: IFTS bukan Ikhmal Hisham!

Gerak!!!

Uik! Jam sudah hampir 9 pagi saya masih duduk di depan lappy ini meneropong alam siber yang luas. Baju belum sidai, rumah belum kemas, pokok belum siram. Semua ini gara-gara saya tidur seharian semalam. Gila penat. Mata saya hanya mahu tidur sahaja. Mujur tengkuk dah okay cuma bahagian abdomen sahaja yang masih terasa sakitnya. Trauma? Hmm... masih berbaki!

Hari ini saya akan ke Kota Tinggi, rumah arwah Pak Ngah, adik abah saya. Since Pak Ngah meninggal beberapa bulan yang lalu saya pun tak jengah keluarganya, raya pun kami semua tak ke sana gara-gara tak ada mood beraya, maka bila sudah dijemput ni WAJIB la saya dan abang-abang datang. Mungkin hanya saya dan Amir sahaja yang akan pergi. Abang Hamdan dan Izam mungkin berada diluar liputan, yang lain-lain tu wapuchetau...

Amir baru call, dia kata saya kena drive kereta abang saya yang merah itu. Allah, malasnya aku nak drive kereta orang. Ingatkan bolehlah bersenang lenang jadi mem menumpang kereta dia... hampes, berkecai harapan Gayah Diva! Takpe nanti sure ada anak-anak buah yang nak menempel dalam kereta pinjam tu. Dia orang memang suka naik kereta dengan makcik dia orang yang over sporting ni. Seriously la... saya memang tak suka drive kereta orang. Kereta company takpe... mak lanyak aje. Kasi ajelah kunci yang besar ke, yang sedan, 4WD ke... mak takde hal noks nak drive! Tapi kalau suruh drive kereta abang mak yang mulut ala-ala loudspeaker tu, mak pikir 18 kali (memandangkan dah takde kereta ni kena fikir 2 kali ajelah!)

Izam lagi teruk, kalau nak drive kereta dia, letak deposit dulu andai ada calar balar dan kekotoran pada seat keretanya (anak dia punya trauma, masuk dalam kereta bukak selipar di luar!)... tapi sejak takde emak, dia tak mintak deposit lagi dah. Siap offer FOC lagi kalau saya nak guna kereta dia. Kereta dia berat dan besar, mak tak suka! Kalau depa kasi mak drive Unser pun okay, Pajero pun okay... mak suka stok-stok besar tinggi ni ;)

Saya bersyukurlah dengan kereta emak saya tu. Kecil, comel, ringan dan laju... tapi apakan daya sehingga hujung minggu depan rasanya saya masih terpaksa memandu kereta Hakim yang susah nak start pepagi tu... buat bising pepagi, jiran sure marah pasal dorang nak tidur saya memekak...ekkkk ekkkkk ekkkkk.... tak hidup-hidup. Sorry!!!

I miss my SLK :(

Semalam KS tanya, iPhone kat Malaysia berapa harga, agaknya dia dah skodeng untuk saya kot. Hahahaha, perasan kau! Tapi Diva tak bolehlah nak tunjuk motif pisau cukur kat boyfriend, kenalah cakap ala-ala puteri yang santun walhal dalam hati...."Abang, I like!!!"

"Kat sini 1,5 atau 1,8 kot yang murah."
"Sini 2k lebih..." balas KS
"Oh! Entah Lily tak tahu. Harga yang Lily tengok tu mungkin first edition kot yang orang dah takmo pakai. Kenapa abang tanya?"
"Takde apa, cuma ada orang tu dia mintak iPhone as birthday present dia..."

Mak tatau nak cakap apa lagi nyah! Mak senyum jek. Mak tahulah boyfriend mak tu very theeee calculative person!

Oh yea, saya juga demand jam tangan baru yang ada diamante. Dah pergi skodeng kat kedai G kelmarin masa beli spek. Harap KS tak keberatan memayungkan barang 2-3 ratus lagi...

Okeylah... selamat berhujung minggu!

p/s: do i sounds like a pisau cukur nowadays?

Friday, October 30, 2009

Gayah Diva

Orang jauh tidak jadi balik. Hati saya? Entahlah... saya beritahu dia kalau saya ada 10 nyawa, yang tinggal sekarang hanyalah satu sahaja. Semoga saya kuat dan tabah mengharungi dugaan yang mendatang.

Dia sibuk, saya harus faham. Kerjanya melambak, saya juga harus faham. Lapangan terbang terbesar dan termoden di dunia itu amat memerlukan kehadirannya sebelum memulakan operasi domestik dan antarabangsanya tidak lama lagi, kalau dia tak ada... nanti jet tak boleh turun, escalator tak boleh gerak, aerotrain tak boleh jalan!!!!. Habis tu saya? Tak perlukan dia dalam hidup saya? Sabarlah selagi boleh sabar, tunggulah selagi jam masih mahu terus berputar... itu sahaja yang boleh saya buat.

Saya tak mahu cerita pasal dia lagi. Kelmarin saya dah luahkan segala kekecewaan saya pada dia. Dia pun dah pulang paku buah keras pada saya. Saya cuma mahu dia tahu apa yang saya rasa kerana saya belajar dari pengalaman, jangan pendam tapi luahkan. Semalam pagi saya juga dah mintak maaf dari dia kerana saya tidak suka nak simpan rasa marah saya lama-lama. Saya tak suka nak marah orang yang saya sayang.

Saya sudah siap dengan resolusi baru. Nak kembali jadi Gayah hotz! Mak-mak hayam sure risau lepas ni bila Gayah back on stage!! Muahahaha...

Saya dan sahabat se-nyah saya bercadang nak cuti-cuti Malaysia ala-ala Diva masuk kampung gitu. Me and Nyah Zana plan nak menginap di mana-mana homestay di sekitar Pahang dan Kelantan yang ada akses KTMB. Jadi nyah vogue dua orang ni nak buang-buang waktu dan bersenggang-senggang dalam tren sambil-sambil mencari anak-anak ikan yang segar, boleh juga dibuat santapan mata... (Ya Tuhan, statement!!!)

Ops! Jangan ada yang panik!

Love,
Naz




Wednesday, October 28, 2009

Dah jadi budak baik ;)

Hari ini saya kembali memandu seperti orang baru dapat lesen. Kereta anak saudara saya, Hakim itu telah diset oleh papanya hanya untuk pemanduan jarak dekat dari rumah ke sekolah dengan keadaan jalanraya yang rata di sekitar Taman Daya hingga ke Jusco Tebrau City. Kereta itu tidak boleh laju melebihi 70kmj!

Dengan trauma yang masih melekat, rasa gigil satu badan yang belum berkurang saya memandu pergi dan balik kerja dengan membaca pelbagai surah suci disepanjan perjalanan. Malah saya memandu tidak laju pun, paling laju rasanya 80kmj itupun kereta itu sudah 'bergoncang'!!!

Saya bermuhasabah dan menerima kecelakaan yang menimpa diri saya dengan redha, Tuhan sedang mengingatkan saya bahawasanya saya harus lebih sayangkan nyawa saya kerana ada ramai orang yang sayangkan saya dan tidak mahu saya cedera atau mati. Saya sentiasa berdoa sewaktu keluar dari rumah atau pulang dari kerja, saya ingin hidup, saya ingin lihat orang-orang yang saya sayang, saya tidak mahu mati diperjalanan. Kalau Tuhan mahu ambil nyawa saya, ambillah apabila saya sudah bersedia, sudah suci, sudah sempurna ibadah dan bersih jiwa dan raga. Itulah doa saya saban hari.

Bercakap mengenai mati, pagi semalam sebelum saya ditimpa kemalangan saya sempat menonton berita mengenai kemalangan jiwa di Kuala Dipang, Perak yang membabitkan anak-anak sekolah. Hati saya tersentuh. Pada malamnya ada bapa yang marah-marah kerana tidak tahu anaknya terbabit dalam perkhemahan itu. Setahu saya pihak sekolah pasti sudah merancang dengan teliti dan telah menghantar surat pekeliling atau surat keizinan penjaga, namun sebagai orang yang pernah 'kecil' saya akui saya pernah buat kerja gila tu - tidak beritahu mama yang saya akan berkhemah di Gunung Arong, Mersing!

Anak perempuannya lembik, selalu pitam, pengsan, tak boleh kena jemur, tak boleh berdiri lama. Emak mana yang akan beri keizinan?

Bila saya sebut nak pergi camping, Amir sudah jadi pembangkang. Waktu itu saya berusia 10 tahun. Mama yang memang pro Amir telah melarang saya pergi. Maka dengan senyap-senyap saya menyuruh abah menandatangan surat keizinan (abah is the best!). Saya berpakat dengan kakak ipar saya yang sponsor barang-barang perkhemahan. Semua itu saya sorok bawah katil! Mama hanya tahu saya pergi perkhemahan itu sehari sebelum saya bertolak ke Mersing. The most memorable part ~ mama masak kari telur kesukaan saya, kami makan dengan Cikgu Dee di bawah kolong sekolah.

Dua kali saya buat kerja ni. Kali kedua ketika saya darjah enam. Last minute beritahu mama tapi mama tahu pasti saya sudah siapkan semuanya sendiri. Mama hanya beri duit belanja dan doakan saya selamat pergi dan balik.

Saya sangat suka zaman kanak-kanak saya. Ada banyak kisah indah dan kenangan yang amat bernilai. Saya pernah bercadang untuk kongsikan kisah hidup saya ketika kecil di dalam novel bersiri seperti Adiwarna yang telah dimulakan oleh Noor Suraya. Kena ugut dengan mama dan akan dihantar bersekolah di sekolah Arab merupakan perkara yang amat menggerunkan. Semuanya gara-gara saya ponteng mengaji dan berlatih bola jaring. Peristiwa itu telah saya catatkan sedikit, kisah manis saya ketika kecil...

Baju kurung kain kapas bercorak jalur sudah disarung ke badannya. Skaf kecil warna putih dengan motif bunga ros warna ungu juga sudah diikat kemas di kepala. Al-quran dan rehal kayu dikendong rapat ke dadanya. Arifah berjalan kaki menuju ke rumah Hajah Zubaidah untuk belajar mengaji. Jam baru pukul 3 petang, masih awal lagi untuk Arifah terus ke rumah Hajah Zubaidah yang hanya akan mengajarnya selepas solat Asar. Selang beberapa rumah dari rumahnya, sahabat karibnya Harliyana sudah menunggu di celah rumpun buluh jepun.

“Kau bawak duit tak?” tanya Harliyana.

“Bawak…seringgit!” jawab Arifah riang. Baki duit sekolah pagi tadi.

“Bolehlah kita makan kerepek pisang Tok Kina lagi hari ni. Sedapnya kerepek Tok Kina sampai termimpi-mimpi.” Sahut Harliyana. Arifah tersenyum. Dia juga sudah ketagih kerepek pisang yang dijual Tok Kina. Sedap sangat. Tok Kina kata dia guna pisang kapok. Arifah tak pernah lihat bagaimana rupa pisang kapok. Yang dia tahu kapok itu bahasa orang Jawa yang bermaksud padan muka!

“Assalammualaikum Tok Kina. Tok Kina… nak kerepek dua!” jerit Harliyana dari laman rumah Hajah Sakinah. Dia sudah bercadang nak makan kerepek pisang di markas kegemaran mereka iaitu di atas pokok ceri. Arifah sudahpun berada di atas dahan pokok ceri yang paling besar, kakinya sudah terjuntai ke bawah. Al-quran dan rehal yang didakapnya tadi di letakkan di atas pangkin di bawah pohon mangga di tepi rumah Tok Kina.

“Oitt… kau dah jadi beruk ya! Tak sabar-sabar nak jadi beruk, tak tunggu aku pun!”

“Mana ada… kau tahu tak, orang zaman dahulu duduk rumah atas pokok yang dipanggil Ran. Kita pun patut ada satu rumah atas pokok… sejuk dan berangin.” Cadang Arifah. Kakinya dibuai ke depan dan ke belakang. Matanya meliar takut-takut tertangkap Rifkee, jiran sebelah rumahnya yang kaki mengadu itu.

“Sedap betul kerepek Tok Kina ni. Esok kita beli lebih sikitlah, aku nak bawak balik rumah.” Kata Harliyana. Lemak, manis, masin semuanya terasa ditekak mereka. Habis 2 paket kerepek pisang, sahabat berdua itu menuju ke rumah guru mengaji mereka.

“Rifa dengan Yana dah banyak tertinggal ni,” tegur Hajah Zubaidah. Arifah dan Harliyana tunduk. Mereka berdua sering culas mengaji sebulan dua ini kerana sibuk di padang bola jaring. Pagi dan petang menjalani latihan.

Orang semua sebelum naik ke sekolah menengah mesti dah katam Quran. Kalau kamu berdua tak katam malulah. Anak dara mesti katam Quran baru laku!” sebut Hajah Zubaidah lagi. Di perjiranan Jalan Rembia itu ramai ibubapa yang berlumba mahu mengadakan majlis khatam Quran. Kalau tidak pandai mengaji atau lebih teruk lagi tidak khatam Quran sebelum masuk ke sekolah menengah itu lebih memalukan. Arifah dan Harliyana punya setahun dari sekarang untuk menghabiskan pengajian Quran masing-masing. Tidak banyak lagi, hanya kurang 15 juzuk lagi. Arifah yakin dia sempat khatam Quran sebelum menduduki peperiksaan UPSR tahun hadapan. Dia tahu apa yang dia kejar. Dia mahu jadi olahragawati sekolah dan lulus cemerlang dalam peperiksaan UPSR. Dia juga mahu habis mengaji seperti abang-abangnya. Arifah yakin boleh!






Sekian sahaja :)

Love all,
Naz

Tuesday, October 27, 2009

Cik Kiah di tepi highway

Sejak kecil saya sudah beberapa kali ditimpa kemalangan jalanraya. Kali pertama ketika berusia 7 tahun, kemalangan pertama itu hampir meragut nyawa saya. Waktu itu abah outstation, saya dijemput pulang dari sekolah oleh jiran yang juga anaknya rakan sekelas saya. Dalam perjalanan pulang ke rumah, di atas bukit bersebelahan court tennis, kenderaan kami telah dilanggar dan saya telah tercampak (jadi superman kejap) dan 'hilang' di kawasan berair untuk beberapa waktu. Tepi court tennis tu ada tasik dan paya - tempat tu memang bestlah, kenangan zaman kanak-kanak saya dan abang-abang. Menurut mama, saya ditemui dalam keadaan yang tidak sedar dan mengalami luka di kepala. Parut luka itu masih ada di atas kepala ini dan masih boleh saya rasa.

Kemalangan kedua ketika saya berusia 15 tahun, beberapa minggu sebelum saya menduduki peperiksaan SRP. Saya dan sahabat saya (orang yang sama) berjalan kaki menuju ke rumah. Kita orang buat jalan tu macam abah kita orang ada share, so ada satu pakcik ni tunggang motor macam pelesit dari jauh dah tekan hon suruh kami ke tepi, it's all so sudden tak tahu nak ke kiri atau ke kanan, saya tolak sahabat saya tu ke kanan dan motor pakcik tu langgar saya... akibatnya saya terbaring di rumah untuk beberapa hari :)

Dan pagi ini, ketika saya sedang dengar SY, KE dan KRILL merepek di Sinar FM, baru lepas melalak lagu Belaian Jiwa tiba-tiba ada satu pakcik ni (yang agak sengal memandu perlahan di lorong kanan) telah membrek secara mengejut dan terus berhenti di lorong laju. Saya sempat tekan brek tetapi kereta belakang saya dah selamat menyondol bumper belakang dan menyebabkan saya tercium kereta pakcik di depan saya, kemudian datang satu lagi kereta langgar belakang Kancil yang langgar saya dan akhirnya kereta saya terselit di bawah penghadang jalan.

Mak teriak macam tarzan you! Arrrghhhhhhhhhhhhhhhhh... dua kali, senada dengan sondolan yang menghentam mak!

Tangan menggigil, seluruh badan menggeletar. Saya cuba untuk keluar tapi pintu kereta saya tidak boleh dibuka (akibat melekat di penghadang jalan). Orang pertama yang saya call ialah abang saya, kemudian GM saya, boss saya dan beberapa orang lagi. Saya sempat SMS KS dan Dr. Ibrahim sebelum saya keluar dari kereta.

Saya tanya pakcik depan, kereta ada lampu brek tak?, dia pun masuk dalam kereta dan tekan brek. (Sah memang dia takde lampu brek ketiga), kemudian dia lihat keretanya tidak ada apa-apa kerosakan, dia pun blah!

Tak pasal-pasal pagi ini saya jadi model di tepi lebuhraya dan dikelilingi oleh beberapa orang callman trak penunda. Saya rasa sayalah orang yang accident paling cool kat Malaysia ni. Boleh borak dengan Cina yang langgar saya.

Kereta saya telah ditunda sehingga Bandar Seri Alam tetapi kemudiannya saya diberitahu saya kena pandu sendiri kereta itu sehingga ke balai polis (ada cerita mengenainya yang akan saya ceritakan kemudian.) Abang saya dah warning jangan tulis di blog kerana akan menyusahkan kerja-kerjanya selepas ini. Tunggu sehingga kereta saya keluar dari bengkel baru saya ceritakan. Sesungguhnya dalam melaksanakan tanggungjawab masih ada manusia yang suka bergelumang dengan dosa.

Apapun saya sangat bersyukur kerana tidak cedera, saya masih berpeluang jumpa abah, jumpa anak-anak kesayangan saya. Malah saya amat berterima kasih pada abang-abang saya yang sentiasa ada di waktu saya memerlukan. Terima kasih Hakim Hamdan kerana meminjamkan keretanya pada saya, awak pergi sekolah bawak kereta lain la ya ;)

Izam terkejut pagi tadi apabila menerima panggilan dari abang (yang suaranya dah macam orang menangis) bila diberitahu saya kemalangan. Abah yang sudah leka dengan dunianya tidak tahu anak perempuannya kemalangan - Kau buat apa kat sini, tak kerja ke? Hehehe...

Love,
Naz

Saturday, October 24, 2009

I shouldn't say it's ruined...there is damages, here and there, top bottom and almost everywhere...

Tak, tak... masih boleh dibaiki, dipulihkan, diberi harapan, diberi peluang. Aku tak pernah kata datangnya membawa bencana. Ya dia datang dalam hidup dengan memberi rasa yang seimbang, buat hidup seorang perempuan seperti aku jadi complete. Bersahabat, berkawan baik atau mungkin sahaja aku ini pelepas sepinya. Meletakkan segala kesalahan pada dia, itu bukan aku. Segala kerugian aku tanggung sendirian, itu yang pasti.

Baru-baru ini aku terlihat gambarnya di Facebook bersama anak perempuannya dan isteri. Keluarga yang bahagia, aku akui dari senyumnya dan wajah bahagia orang yang dia kasih. Mereka bahagia. Alhamdulillah. Jujurnya aku akui, malam itu aku bukanlah diriku. Nak nangis tak boleh nangis lagi tapi hati aku meraung sedih. Mujur ada Dr. Azhar yang memaksa aku bangun dari mimpi ngeri ini - Stop torturing yourself.

Hanya dia sahaja yang tahu mengapa begini akhirnya kerana itu keputusannya sendiri, aku hanyalah mangsa keadaan yang cedera parah dan hampir-hampir sahaja terkorban dalam 'peperangan' itu. Cinta untuknya sudah tiada lagi. Jiwa aku sudah lama dibiarkan kosong menunggu manusia jujur yang ingin menghuninya, manusia yang telah berjanji tidak akan menyakiti. Namun rasa terkilan aku padanya tidak pernah padam. Aku tidak pernah mengharapkan agar dia kembali menyembuhkan luka atau memadam parut yang hodoh ini tetapi aku selalu berharap agar dia datang padaku dan menjernihkan segala kekeruhan yang dia tinggalkan. Atau mungkin dia tidak lagi jantan yang dahulunya terlalu berani membeli jiwa perempuanku tapi akhirnya terpaksa dilepaskan kerana tidak mampu membayar harga yang diletakkan ke atas diriku!


Zam, kau rasa adilkah dunia ini, sedangkan kau berbahagia di sana dan aku di sini masih meratapi sengsara yang kau tinggalkan?

Move on, Lily. Yes, I am moving on with all burden in my heart, I can't leave it, I just can't... it will end with the last breath of mine :(

Menyesalkah aku kerana semuanya tidak berakhir sebagaimana yang aku harapkan? Tidak pernah... aku tidak kesal, menyesal atas sesuatu itu juga bukan aku. Dia sedang melalui episod terbaik dalam hidupnya, Tuhan telah terlebih dahulu memberi kenikmatan hidup yang ditunggu-tunggunya. Mungkin belum tiba giliran aku untuk hidup gembira seperti dia... suatu hari nanti mungkin hidupku juga akan lengkap seperti dia...namun sehingga waktu itu aku tetap begini ~ half of me is empty.


Me,
Sorrownaz

p/s: malam tadi terdengar perbualan yang tak patut didengarnya lalu segala rasa bagaikan mati, yang tinggal hanyalah sedih dan sepi dan memadam kesemua cerita... :'(

Friday, October 23, 2009

EMO-SEYYY...

Hari ni hari Jumaat, hari aku dilahirkan ke dunia, hari mamaku dijemput pulang menemuiNya. Hari yang tak sepatutnya aku marah-marah tapi aku dah tak boleh nak tahan marah ni, aku kena MARAH gak. Sorrylah kalau posting ini agak keras, kasar dan sangat beremosi.

Aku marah gila dengan town planning MPPG, aku marah gila dengan mangkuk hayun yang meluluskan sebatang lampu trafik di persimpangan masuk ke Johor Circuit berhadapan dengan Bukit Dahlia. Sudahlah main road tu memang jem pun, ditambah dengan lampu trafik yang tak mendatangkan faedah tu, lagi la panjang jem.

Aku rasa town planning kat Malaysia ni memang (Sorry to say BODOH). Masa Pasir Gudang dibuka pada tahun 1977, 32 tahun yang lalu Malaysia dah lahirkan ribuan orang cerdik pandai, pada jurutera, para perancang bandar yang grad dari universiti tempatan dan luar negara... takkan takde seorang pun yang berakal menjangkau tahun-tahun mendatang, yang bagi idea - rizab jalan mesti lebar tuan, jalan mesti banyak dan besar tuan, nanti kita nak bukak taman-taman perumahan dan zon industri tuan... kereta akan banyak, 30 tahun dari sekarang rakyat Malaysia ada kereta sorang 2 bijik tuan....

Geez! Malaysia negara pengeluar kereta tapi sayang JALANRAYA KAT MALAYSIA ni especially kat tempat aku, sedih nak cakaplah. Lepas korek, tampal... berbonjol-bonjol tak rata. Kereta buatan Malaysia yang aku guna tu sudah bergemerincing bunyinya...skru longgar dek bahana jalanraya yang sangat TERUK!

Aku memang emosi hari ni. Jangan kata kalau nak cepat sampai pejabat keluar awal... tak guna juga sebab berpuluh kawasan perumahan dengan jumlah penduduk yang beribu dan kenderaan yang mungkin ratus-ratus, ribu-ribu... tidakkah pihak yang bertanggungjawab terdetik di kepalanya - Jalan Kong-Kong - Masai harus dilebarkan, dinaiktaraf, Jalan Masjid harus ditambah satu lagi lorong, bukan buat petrol station tepi jalan dan menyempitkan jalan yang dah sedia ada sempit.

MANUSIA DIMANA AKAL KAMU!!!!!

Sila ambil perhatian MP Pasir Gudang, Datuk Khaled Nordin, Adun-Adun DUN Permas dan Johor Jaya. Sila jalankan tugas!!

 
Designed by suckmylolly.com