Wednesday, June 17, 2009

Baju raya dah tempah ke?

Salam semua...
Sekarang ni dah masuk pertengahan bulan Jun kan, lagi dua bulan aje kita akan menyambut kedatangan Ramadan yang mulia. Semoga semua kita diberikan umur yang panjang dan kesihatan yang baik agar kita sama-sama dapat melaksana dan menunaikan ibadah puasa. Cewahh... macam ustazah pulak mukadimah pagi ni. Bukan apa, hari ini saya termotivasi diri sendiri dan memakai baju kurung teluk belanga warna hijau zaitun ke pejabat. Tudung pula warna biru cyan celoreng hijau zaitun. Ayu mak! (perasan!)
Semalam saya telefonlah kakak tailor saya tu. Dah berbelas tahun hantar baju kat dia. Dari kurus jadi gemuk, kurus balik dan gemuk balik... dialah yang menjahit baju kurung saya.
"Kak Tim sayang... sihat ke?" intro kena puji melambung la kan.
"Sihat... sibukkk..." laju jek dia sebut sibuk.
"Kak Tim amik lagi tak baju?"
"Dah tutup dah..."
"Eiii... apa pulak. Kan kita dah bagitau dua bulan lepas tahun ni kita nak hantar 4 pasang."
"Sape suruh tak hantar. Kak Tim dah potong kain pun."
"Ala Kak Tim ni... kita kira bookinglah dulu tu..."
"Lily macam tak biasa aje... beli baju siap jek la"
"Alaaaa... tiap tahun beli baju siap. Tahun ni nak pakai baju tempahlah..."
"Ngada-ngada tau! Hah... esok hantar tapi satu aje tau. Yang lain siap lepas raya..."
"Ala... esok tak boleh lining belum beli."
"Khamis!!"
Garang gila tailorku. Tapi tak apa saya tahu kalau saya hantar 5 pasang sekalipun Kak Tim tetap akan jahitkan untuk saya. Actually saya tak cerewet pasal baju sebab memang tiap tahun saya beli baju siap aje. Sedia ajelah ratus-ratus untuk sepasang dua baju. Baju raya mesti kena gempak ~ sebab tulah setahun sekali saya melaram.
Selalunya saya akan beli sepasang baju sedondon dengan mama TAPI dah dua kali raya mama saya pergi. Tahun pertama mama meninggal, saya terlupa dan saya masih belikan baju untuk dia. Mama suka pakai baju bunga kecil. Kemudian baru saya teringat, mama saya dah meninggal dua bulan sudah. Untuk siapa pulak kain ini ya? Lalu saya berikan pada KS untuk dihadiahkan kepada ibunya. Ikhlas dari hati saya. Tahun lepas pun tergerak hati nak buat perkara yang sama tapi saya takut orang tak sudi terima. Orang kata beri kain atau baju nanti jodoh tak panjang. KS kata nonsense!
Tahun ini kami sekeluarga akan menyambut Ramadan dan Lebaran dengan sederhana. Namun begitu saya sudah memasang hajat untuk mengecat rumah saya (kena mintak quotation dengan Amir) tapi tak tahu pulak warna apa. Saya juga berangan nak tukar sofa baru. Berangan aje, belum tentu beli pun. Selain daripada menukar rod langsir dan kain langsir juga. Kalau mesin jahit tidak buat hal... saya nak jahit sendiri langsir tahun ini :)
Saya juga bercadang nak anjur majlis berbuka puasa bersama kaum keluarga seperti tahun sudah. Tentunya kerabat bonda juga akan diundang sebagai menghormati hubungan kekeluargaan yang telah terjalin sekian lama. Menu utama tentulah beryani kambing! Alamat terbongkanglah abang-abang saya lepas makan nanti. Tahun sudah mereka mengulang makan 2-3 kali, sedap punya pasal. Lepas solat terawih pun bedal lagi.
Pastinya raya tahun ini sayalah yang akan dikerah ke dapur secara solo. Mana tidaknya, kakak ipar saya si tuan rumah itu sedang memboyot anak keempat. Kira punya kira bulan puasa ke, raya gitu dia akan bersalin. (Macam nak keluar pekeliling aje pada abang saya tu ~ sila kira bulan dan hari sebelum anda merancang untuk menambah populasi dalam rumah. Ahaks!!)
Raya mesti ada ketupat, rendang, lodeh dan ayam masak merah. Saya mesti kena buat abah gembira dengan lauk pauk kegemarannya. I'll do anything for abah. Sorang pun soranglah yang penting tidak berlaku kejadian raya haji tahun lepas - adakah pagi raya makan kari! Kakak ipar saya semuanya mengelat waktu itu. Yang tinggal di rumah hanyalah dua orang manusia koboi yang tak kisah makan apa sahaja. Tapi abah tidak - raya mesti ada juadah raya. Sudahnya abah kompelin sepanjang hari. Rasa bersalah pada abah menggunung tinggi. Saya janji tak akan buat lagi. Sedihlah tengok abah makan kari ayam di pagi raya :(
Dimanakah saya waktu itu? I went to KL on raya's eve. Terbang ke Kuala Lumpur menyambut buah hati pulang. KS tiba di KLIA awal pagi raya. Semua orang sudah balik kampung, tak ada siapa nak jemput dia. Dengan saya ada tiket untuk dia terbang ke Kota Bharu. Ada juga tiket untuk saya kembali ke Johor Bahru. Mujur flight kami di pagi raya itu hanya berselang lima minit dan pintu berlepas pun sebelah menyebelah aje. Adakah orang berhari raya di lapangan terbang? Untuk orang yang saya sayang - raya kat gurun Gobi pun tak apa.
Apa ni pagi-pagi dah cerita hal raya. Hutang puasa dah habis bayar ke? (saya dah settle :)) Tapi tak apalah kan, cerita pasal raya dan puasa bukan dosa pun. Sebagai manusia yang suka merancang, saya suka rancang awal :)
Indahnya Ramadan. Semoga umur saya panjang dan dapat menebus dosa jua segala kekhilafan yang lalu. AMIN...
Love always,
Naz

0 comments:

 
Designed by suckmylolly.com