Saturday, June 6, 2009

Sembang petang Sabtu...

Seminggu sakit... aku telah membenarkan habuk-habuk bersarang di atas meja, tv dan di mana-mana celah di rumah kecil ini. Hari ini dengan nawaitu nak kemas rumah, aku 'pejam mata' aje berkemas dari pagi sampai petang. Sekarang baru dapat duduk depan lappy putih ini dan mulalah merapek-meraban.

Petang-petang macam ni selalunya aku ke rumah abah... tapi abah dah tiga hari tak ada di rumah. Dia ikut Man. Man kata abah tetap tak mahu makan cuma dia tidaklah melepek di dalam bilik aje macam kat rumah. Di rumah Man... abah ada gak keluar melayan Sarah, Adib, Aleesya dan Daniel. Man kata kelmarin dia bawak abah makan kerang rebus di Tepian Tebrau tapi abah tak mahu makan gak. Abah, abah... Lily tak tahu abah nak makan apa... cakaplah abah nanti Lily cari!

Aku ingat ketika mamaku sakit dahulu. Dia teringin nak makan terung kari dengan telur. Aku tak reti masak. Puaslah aku tanya kawan-kawan, seorang pun tak tahu. Aku nekad masak sendiri berdasarkan apa yang aku rasa, yang aku pernah makan mama masak dahulu... sedapnya macam ayam! Aku ke pasar beli terung dua batang. Satu untuk eksperimen, satu untuk aku masak. Sahih satu batang terung masuk tong sampahlah kan!

Aku ambil cuti tiga hari untuk jaga mama dan masak apa yang dia mahu. Hujungnya bila aku dah siap masak mama tak makan tapi mama kata, sedap baunya mesti sedap rasanya. Mama ambil bau aje. Kemudian abah yang kena paksa habiskan lauk terung tu (aku tak makan sayur-sayur yang berlendir). Hari itu juga aku masakkan sayur pucuk ubi tumis pedas untuk abah... (dan semalam setelah hampir 2 tahun, aku masak untuk diriku sendiri)

Lepas makan, aku dan mama tidur sekatil.... itulah kali terakhir aku tidur dengan mamaku kerana dua hari kemudian dia pulang mengadap Tuhan yang Esa.

Selalunya petang begini aku akan jumpa mama dan minum petang sama-sama. Abah akan keluar beli teh tarik dan aku pula sudah pasti balik dengan kuih ataupun pisang goreng. Sambil makan sambil bercerita, dari sinetron Indonesia sampailah cerita kucing dan pokok-pokok... Walah! sunyinya hidupku kini... aku tak ada teman berbual di petang hari begini.

Aku tidak lagi suka buang waktu di luar rumah. Dunia aku hanya di rumah ini. Entahlah... semuanya berubah sejak lima tahun sudah. Zaman aku jatuh tersungkur merubah aku jadi orang yang lebih suka bersendiri. Ada orang tanya, tak bosankah duduk sendiri? Tak bosankah tak keluar dari rumah? Tak bosankah tak ada kawan?

Tak sempat nak rasa bosan kot... sebab aku ada banyak benda nak buat. Cuma sekali-sekala aku rindu. Rindu pada mama, rindu pada orang itu... rindu nak duduk mengadap laut dan biarkan muka melekit dek bayu laut.

Apa nak buat sekarang ni? Sambung menulis Loving An Ivy atau keluar cari epok-epok?
Fikir, fikir....

p/s: lapang mata tengok rumah... bersyukur dengan apa yang Tuhan beri...

0 comments:

 
Designed by suckmylolly.com