Sebenarnya saya tidak ada cerita untuk diceritakan di sini. Entahlah, sebulan Syawal saya tidak ada mood langsung untuk kemana-mana. Malah semalam ada undangan rumah terbuka, Bonda S mengundang saya tetapi saya mahu tidur sahaja. Ya, saya tidur siang selama 5 jam semalam!
Saya mengadu pada KS saya sudah bosan sendirian disini. Jawabnya senang aje, bersabarlah. Sebenarnya saya tak tahu apa akan jadi sebulan dua dari sekarang, saya tidak ada klu langsung ke arah itu. Saya mengharapkan yang terbaik namun kalau bukan rezeki saya, saya sudah lama belajar untuk reda dan pasrah coz I am not a fighter.
Proses menulis LAI mengalami kelembapan yang tak terjangka. Mood turun naik untuk memberikan sesuatu yang terbaik dari saya untuk pembaca. Mengetahui bukan semua orang suka dan appreciate dengan apa yang kita tulis, saya harus ambil kira semua aspek. Orang punya pelbagai cara untuk menilai. Ada yang sampai, ada yang tidak sampai. Ada yang suka, ramai juga yang menyampah dan semestinya bukan salah pembaca kerana minat masing-masing sukar untuk diduga.
Nah! hari ini saya baik hati berkongsi sebabak peristiwa yang tercatat di dalam perjalanan hidup Stephanie Ivy Gabrielle. Mungkin anda suka, mungkin juga tidak... tiada paksaan untuk suka hanya kerana anda kawan saya ;)
STEPHANIE IVY memandang Azam yang sedang memesan teh tarik. Dia ditemani Valentina yang mengidam soto ayam sejak kelmarin. Azam dilihat suka benar melayan karenah Valentina yang kebudak-budakan itu. Usianya sudah 23 tahun tetapi perangai Valentina macam budak kecil umur lapan tahun. Banyak soal, banyak karenah. Dari meja Stephanie Ivy melihat keakraban dua orang staf Loving an Ivy itu.
Azam membawa dulang berisi teh tarik, roti bakar dan semangkuk soto ayam ke meja. Sempat untuk Stephanie Ivy melakukan analisis kilat. Azam nampak lain benar hari ini. Selalunya dia kemas dengan pakaian pejabatnya. Kali kedua bertentang mata di TGI Fridays, Azam laksana pengantin baru ditemani pengapit. Lengkap bersamping kain tenun Pahang dengan baju Melayu Teluk Belanga. Berbeza dengan Azam yang dilihatnya hari ini, lelaki ini nampak sangat sempoi dengan sneakers warna putih dengan garisan biru dan merah dibahagian pelapik getah. Tali kasut warna putih diikat kemas. Macam budak sekolah aje. Jeans longgar warna biru season dikenakan dengan t-shirt kolar bulat warna kelabu. Azam tak macam orang berusia 35 tahun. Tubuhnya yang sederhana memberi kelebihan padanya menjadikan dia nampak lebih muda dari usianya yang sebenar. Dia dan Ariff Azlan yang Stephanie Ivy kenal tidak banyak bezanya cuma Azlan lebih tough dari abangnya.
“Tak sangka dapat jumpa Lan lagi...” sebut Stephanie Ivy sambil melepaskan keluhan di dada. Dipejam matanya rapat-rapat bila dia sedar dia sedang mengimbas kenangan lama. Ariff Azlan rakan baiknya di universiti. Namun bila menyentuh perihal agama, mereka akan jadi musuh.
“Agama kau tu leceh. Semuanya haram tapi tetap ada juga orang-orang kau buat perkara haram. Jadi kau tak usah nak argue dengan aku soal agama. Betulkan orang-orang kau dulu!”
“Agama aku tak leceh! Orang tak ada iman sahaja yang anggap melakukan ibadah itu leceh, menjauhi larangan Tuhan itu leceh. Kenapa kau sibuk mintak aku betulkan orang lain, bukankah kau yang ada depan mataku ketika ini juga tidak jauh bezanya? Kau sendiri aku lihat tak pernah pun ke gereja... apa kau tak punya agama? Kau tidak ada Tuhan? Kau tak malu ke sedangkan kau sendiri tidak pernah ke gereja tapi bila tiba hari Krismas kau lebih menyibuk dari orang lain?”
“Aku dengan kau tak sama!”
“Kau juga Melayu, Stephanie. Kau sama-sama Melayu seperti aku... apa bezanya kita?”
Stephanie Ivy terkedu. Dia tak boleh salahkan orang lain. Dia tidak patut mencari kesalahan orang lain. Yang sedang diperdebatkan dengan Azlan ketika ini adalah dirinya dan Azlan. Bukan orang lain. Mereka tidak berbincang tentang anak Perdana Menteri Islam Hadhari yang tidak bertudung, jauh sekali mengata isteri ketua agama negeri yang berjambul tinggi. Mereka berbicara tentang diri mereka.
“Kakak... tengok apa tu dari tadi Tina lihat kakak tenung pagar tu. Kalau kakak ada mata laser macam Clark Kent mesti dah roboh pagar tu.” Usik Valentina.
“Oh! Kakak tengah kira bajet bulan depan.”
“Wah! Terernya Stephs kira bajet bulan depan dari meja gerai ni aje? Ada telepati dengan komputer kat kedai ke apa ni?” celah Azam. Stephanie Ivy senyum. Dihadapannya ini bukan calang-calang orang dalam bidang perakaunan. Dia malu untuk tunjuk pandai. Lagipun tadi dia sekadar mencipta alasan polos untuk meloloskan dirinya.
Tiap kali Stephanie Ivy menyuap roti canai ke dalam mulutnya Azam curi-curi pandang wajahnya. Wajah Melayu Stephanie Ivy buat Azam rasa terkilan andai dia tidak dibawa kembali ke landasan agama asal ibunya.
“Abang Azam tak makan ke? Minum teh tarik cukup ke? Kerja banyak nak buat hari ni tau.” Azam tahu Valentina sekadar mengusiknya. Dia sudah kenyang dengan dua keping tosai buatan ibunya.
“Abang kenyang bila tengok Tina makan.” Jawab Azam. Bertambah-tambah kenyang bila lihat Stephanie Ivy yang cermat mengoyakkan roti canainya dengan garfu dan sudu.
“Abang kena cepat tau hantar bunga sebab petang ini pun ada banyak delivery. Lepas makan ni Tina dengan kakak nak naik ke kedai semula untuk sambung kerja...”
“Selalunya siapa yang hantar?” celah Azam.
“Pagi Tina buat, petang kakak buat...” jawab Valentina.
“Teruklah kerja kami ni Encik Azam, kalau tidak ada yang bantu kami buat delivery memanglah tak cukup tangan kami nak buat kerja.” Beritahu Stephanie Ivy pula.
“Stephs...” panggil Azam. Stephanie Ivy mengangkat kepalanya.
“Jangan panggil saya encik, panggil saya Azam atau abang aje macam Tina panggil saya. Lagipun saya bukan bos, driver aje. Tak sedap pulak bos panggil driver encik.” Suruh Azam. Stephanie Ivy sudah siap dengan pilihannya. Dia akan panggil Azam dengan namanya sahaja.



4 comments:
Salam Naz,
Jatuh cinta pandang pertama...teruskan...saya amat suka...
haah Naz..kasi siap itu cerita k..x sabo nak beli nih..
Salam sis...
pe kabar?? sejak kena block oleh KKM ni da jarang jenguk blog sis...
so pe kabar??? x sabar nak tunggu citer/novel baru nie..
lusa adik g KL..nak daftar masuk UM...hihihi...23 balik kk...
insyallah klu ada pluang nak jumpa sis lagi...
k sis..take care ya...
Nice story...go..go..cayunk....teruskan...
Post a Comment