Monday, March 30, 2009

PEMBERITAHUAN

Kepada mereka yang telah menerima email promo dari saya, di sini saya ingin maklumkan bahawa promo itu hanya terhad kepada mereka-mereka yang sekian lama menyokong saya - sebagai tanda penghargaan di atas kesetiaan dan sokongan.

Pihak JEMARI SENI tidak terbabit di atas segala yang saya rancangkan ini dan segala urusan dibawah tanggungjawab saya SEPENUHNYA.

Harga yang termaktub juga hanya untuk Teman Tinta Hati sahaja, tidak sah untuk pembelian di lain-lain tempat termasuk di web rasmi JS sendiri.

Nota: saya berhak membuat apa-apa perubahan tanpa perlu pemberitahuan lain selepas ini.

p/s: bercadang nak tukar nama sahabat kepada FanNaz!! :D

Cerita Kelmarin...

Dua sahabat yang sebut di awal muka RHS, lagu yang ini buat kamu berdua.

Dalam hidup yang panjang ini tidak pernah terbit kesal dalam hatiku, biarpun telah bergunung kesilapan yang dihimpun. Bagi aku untuk membahagiakan kamu, sungguh aku tak mampu. Aku sudah cuba sedaya yang aku mampu namun yang nyata aku hanyalah manusia kerdil yang lemah, tak mampu menolak segala dugaan yang datang.

Aku tidak kesal bukan kerana hatiku sudah hitam tetapi aku tak mahu meratapi kekesalan itu lagi. Cukuplah aku tangisi kesilapan yang telah menggores hati banyak orang... termasuk kamu berdua. Sakitkan rasa kecewa itu? Ya, amat sakit... kita bertiga merasakannya dan menderita selama beberapa waktu, malah ada diantara kita yang merasakan sakitnya sehingga kini...

Maafkan aku... hanya itu yang aku mampu. Buat dia dan juga dia, itu sahaja perkataan yang mampu aku zahirkan dari hatiku yang tulus, hatiku yang penuh dengan bahagia buat kamu suatu waktu dahulu.

Andai aku dapat undur waktu, aku memilih untuk tidak pernah kenal kamu berdua kerana aku tidak mahu kita bertiga menanggung seksa sebegini. Dia mungkin bahagia, dia juga mungkin sedang gembira... tapi aku? Biarlah aku pendam semuanya sendiri...

Rasa sakit itu ada hikmah di sebaliknya. Dia jadi manusia teguh, dia jadi manusia sabar dan aku jadi manusia yang menyimpan seluruh khazanah persahabatan ini. Akulah arkib kamu berdua!

Ingin aku hadiahkan ceritera ini buat kamu berdua sahabatku, tak perlulah aku nyatakan nama kamu dan kamu di sini, kerana kamu tahu siapa kamu. Harapan itu sudah lama terkubur ditelan waktu, impian itu juga sudah lama tertanam jadi kenangan yang masih bersisa untuk aku simpan.

Halalkanlah pertemuan itu, semoga kita bertiga dianugerahkan dengan bahagia yang panjang. Andai kita bertembung di penjuru dunia, sudilah kiranya menegurku barang sepatah dua. Aku tidak pernah benci kamu, juga kamu... cuma aku tidak mampu untuk membahagiakan keduanya. Maafkan aku!

Setiba di persimpangan
Langkah kita tak lagi sehaluan...

Kasih sayang ini, semoga abadi...
Kan ku bawa sampai akhir nanti


Kerabat JS di Pesta Buku Antarabangsa KL



Nota: Noor Suraya akan berada di booth JS di sepanjang pesta buku ini berlangsung ~ Insya Allah

Nasihat tukang tulis: Sila bawa beg sandang full-paded agar tidak menyeksa bahu anda yang bakal dibebani buku-buku yang berat. Juga bawak air mineral untuk membasahkan tekak kerana dikuatiri suhu di PWTC akan sehangat gurun akibat perlepasan karbon dioksida yang berlebihan.

Sunday, March 29, 2009

buat orang itu...

"... untuk apalah bersama jika tidak diperlukan..."

itu adalah kata-kata yang aku sms kepada orang itu. Bukankah seharusnya kita tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab dan keperluan kita sebagai manusia, biarpun sesibuk mana pun kita, kita harus luang waktu untuk orang yang kita sayang.

bukan mengungkit tapi sekadar mengingatkan,

tatkala hati berat dan tak mahu datang ke Kuala Lumpur, aku paksa juga diri untuk datang. Perjalanan lebih 5 jam itu amat memenatkan aku. Ketibaanku disambut oleh seorang teman, bukan orang yang aku sayang (kerana dia sibuk dengan agenda lain). Dia cuma datang menemui aku tika senja sudah berlabuh, itupun kerana dia terpaksa menghantar aku ke hotel dan kemudian ditinggalkan sendirian sampai dinihari. Makan malam pun tak jadi kerana dia ada agenda lain yang tidak memerlukan kehadiranku. Untuk apa aku disuruh ke sana jika hanya ditinggalkan sendiri?

Katanya, aku harus fahami masalahnya. Kenapa aku aje yang kena faham? Tak adil sungguh dunia ini!!!

Cerita lama itu hanya sekadar ingin ingatkan dia betapa ketika aku tidak mahu, aku luangkan juga waktu untuk dia, kerana dia lelaki yang aku sayang... tapi di mana dia ketika aku benar-benar memerlukan dia?

Perlukah hubungan ini diteruskan andai dia tidak ada masa untuk kami?

Aku mahu dia mengerti, aku ini manusia bukan manekuin. Aku ada perasaan dan rasa ingin dihargai. Bukan limpahkan aku dengan duit dan kemewahan tapi luangkan sedikit waktu untuk aku. Bila dia tidak ada masa, bukankah itu cermin betapa dia tidak memerlukan aku... benar begitukan? Andai ini titik-titik akhir hubungan ini... aku redha...

Dan, kata-kata ini selalu mengingatkan aku...

"Remember those time when you always there when I need you? There is when i sensed your love..."

Buat orang lain juga, andai anda mahukan teman anda setia, luangkanlah waktu bersamanya. Jangan kita fikir dengan duit yang kita ada kita sudah beli hati dan jiwanya. SALAH sama sekali. Jangan biarkan ruang-ruang lompang dalam hati diisi oleh suara-suara kacau yang menghasut. Hari ini dia mungkin setia... esok lusa, kita tidak pasti. Ambil rumah sebagai perumpamaan, sehari kita tinggalkan, mungkin semut dan cicak sahaja yang jadi penghuninya... tetapi jika ditinggalkan lebih lama... lagi banyak makhluk Tuhan yang turut sama jadi penghuninya... APATAH lagi hati manusia, sehari mungkin boleh sabar... setahun? BELUM TENTU!

Fikirkanlah....



Setiba di persimpangan,
Langkah kita tak lagi sehaluan
Bermula di saat itu
Tidak senada irama dan lagu

Sekali segala ada
Ada rindu yang datang tiba2
Tak mungkin kerana sayang
Cuma terganggu oleh perasaan

Begitu hidup ini
Tiada yang abadi
Yang patah tumbuh
Yang hilang berganti

Thursday, March 26, 2009

Rahsia Hati Sofia - Blurb

sekali air sungai melimpah… sekali pasirnya pun berubah…
Aku dan dia kenal begitu lama, saling menyimpan rasa dan berkongsi hati. Kenapa sukarnya untuk saling memahami? Padahal kita bagaikan bercerung jiwa!

Ini bukan cinta tiga segi! Dia dan dia bersahabat. Mereka berkongsi cerita.
Namun rahsianya hanya aku seorang sahaja yang tahu!

Ajaibnya dalam derita masih ada lagi cahaya, jalurnya memandu arah. Anehnya dalam pijar resah, angin masih bawa salam bahagia walau seketika. Payahnya pabila cinta jadi benci. Sukarnya nak pujuk hati biar benci bertukar rindu. Pilunya hati tatkala kau paksa aku memilihmu, padahal kau sudah lama kupilih!
Jiwamu bagai ombak di tengah laut, pabila datang menderu kau usung segala beban ke gigi pantai. Singgahmu sekejap cuma, tika pergi kau titipkan semuanya di bahuku seorang....
Kenapa harus begitu, Mal?
+ + +
NAZURAH AISHAH kembali dengan cerita yang sarat dengan emosi. Bahasa NAZURAH AISHAH terserlah matang, tulisannya segar dan menguntum senyum pembaca. Rahsia Hati Sofia dipersembahkan hanya buat mereka yang faham akan erti cinta!
Buah hati saya ini akan mula dijual pada pesta buku KL April nanti... insya Allah. Pada mereka yang pernah singgah di rumah Sofia dan berkenalan dengan Ikhmal Hisham, Jihannur Sofia dan Nizam sudi-sudikanlah kiranya untuk mendapatkan versi cetak ini.
Saya tidak janji apa-apa. Tiada jaminan airmata, tiada jaminan anda ketawa. Cerita ini jiwa saya, ketika saya seronok menulisnya saya juga mengharapkan anda semua bahagia membacanya. RAHSIA HATI SOFIA, cerita lain dari yang lain....

Wednesday, March 25, 2009

25 Mac 2009
Encik BB
Di mana jua anda berada
Dubai, UAE
Encik,
Perkara: Perihal merajuk dan memujuk
Saya sedia maklum dengan kesibukan dan kepenatan encik. Juga mengerti dengan jadual kerja encik yang padat sehingga tidak dapat menelefon saya ataupun mengsms saya. Oleh yang demikan saya juga sedia maklum bahawa encik tidak ada masa untuk memujuk saya.
Kalau encik sibuk, saya juga akan buat-buat sibuk. Tak ada masa untuk mengalah. Biar kita sama-sama keras kepala, barulah ada thrill kan?
Saya terpaksa redha la andai kata nanti dek kesibukan encik akan menyebabkan encik terlupa akan kewujudan saya di bumi Malaysia ini.
Sehingga surat ini disambung pada entri yang seterusnya, saya hanya mahu beritahu encik saya rindu dan saya masih sayang encik. Tak pujuk pun tak apa... tapi boat kena tambat pun dicuri orang, inikan pula saya yang kaki merempit.... :'(
Yang menulis dari hati,
N.A.

Tuesday, March 24, 2009

S.E.D.I.H.

Monday, March 23, 2009

What's next?


Inilah yang membuat aku sangkut-sangkut ketika menulis RHS dahulu... tapi tunggulah... aku tunggu penerimaan pembaca terhadap RHS, kemudian baru aku sambung menulis LOVING AN IVY....

Ceritanya...pasti manis, ada banyak kenangan...

Merajuk lagi...

Aku: Abang, ni Lily call nak bagitau 2-3 hari ni nanti Lily tak akan call abang sebab Lily tengah merajuk ni.

BB: Abang tahu, tak bagitau pun abang tahu Lily merajuk.

Aku: Lily tak akan call abang lagi lepas ni dan Lily tak akan topup fone, biar tak ada credit untuk call abang.

BB: Nak marah dengan abang sebab abang tak call?

Aku: Lily berhak merajuk coz of your empty promises. Abang takde efforts pun nak call.

BB: Abang balik rumah penat sangat, kadang tak sempat mandi dah tidur.

Aku: Alah, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Kalau abang nak, tak sampai seminit pun boleh jadi. Dah lah, Lily nak cakap itu aje. Selagi abang tak pujuk, selagi itulah Lily merajuk.

BB: Abang pujuk sekarang boleh?

Aku: Tak boleh! Tak aci.

BB: Kenapa?

Aku: Sebab ni Lily yang call abang!!!!

Saturday, March 21, 2009

I CURSE ASTRO...

Bankrupt!!!

Aku memang marah gila la... Korang bayangkanlah, camne aku tak marah... dahlah hari-hari aku kena donlod channel makan setengah jam. Sebab tiap kali aku kuar umah aku off decoder astro tu, jimat letrik la konon. Asal balik keje jek... aku on TV dan kena tunggu setengah jam untuk dapatkan siaran. Hampeh SERVICE NOT AVAILABLE!

Seminggu ni ada satu penyakit baru yang TAK MASUK AKAL. Lepas tengah malam, there is NO SIGNAL again. Tiap hari macam tu. Dua hari aku tahan la...masuk hari ketiga, aku SUMPAH SERANAH depa. Korang tak pelik ke?

Pukul 6 petang sampai pukul 11 malam ada signal but then... signal hilang sampai esok pagi. BS la astro ni. Pagi ni aku hilang kesabaran aku lagi... since malam tadi aku off TV and decoder sebab service CEKIK DARAH tapi takde signal. So bangun pagi aku on tv kekonon nak tengok berita, tup-tup... takde siaran lagi!!!

Aritu masa aku call...depa kata decoder tu takbleh on jek. WTH? Sebelum ni aku off decoder tu from 730am to 630pm. Pun sama gak...service cam HARAM. Balik keje aku still kena donlod channel lagi.

Bila aku on decoder tu...dapatlah tengok TV terus tapi lepas tu, MALAM...MAMPUS PLAK!!! Aku rasa dorang ada buat something dengan aku punya sistem ni... kalau tak camne bleh ada waktu-waktu tertentu aje signal tu hilang? Kalau gila...terus gila la kan...

ni lagi la... pagi tadi aku call service center, depa kata after 3 days your systems will totally dead. aiks... korang cam plan jek nak kenakan aku!!!

For sure aku tak nak bayar TECHNICIAN FEE.. bukan murah beb... decoder tukar pun bukan murah, remote pun mahal... Semua kena bayar... takpe gak kalau service mantap. Ni service HARAM....

Aku bleh tahan tak tengok tv sampai hujung bulan ni... TAKPE aku bleh sabar. TAPI INGAT ASTRO, hujung bulan ni gak.... AKU TERMINATE SERVICE HARAM KO TU!!

Thursday, March 19, 2009

Janji Padamu

Tiada kusangka sejak detik itu
Kau membuka pintu kamar dihatiku
Cinta yang terhampar satu tika dulu
Bersinar kembali

Pandainya dikau mencuri hatiku
Dengan kejujuran dan tingkah lakumu
Memberikan aku satu keyakinan
Mendungkan berlalu

Akan kupertahankan cinta ini
Demi kesetiaan kupadamu
Akan kutempuhi onak duri
Demi untukmu bidadari
Percayalah janjiku ini

Andainya kau jauh dariku
Dekat dihatiku
Andainya kau yang pergi dulu
Hampalah cintaku
Jangan tinggalkan ku...
Jangan persiakan cinta yang murni

By: Exist

Another favorite song... another heartache lyrics...

Tuesday, March 17, 2009

Mama...

Lama tidak tulis tentang mama di blog ini. Sengaja aku berhenti menghitung hari sudah berapa lama mamaku pergi. Mama tetap di hati aku, dia hidup dan aku rindu setiap detik. Dua tiga hari ini aku asyik terbayang wajah lembutnya di mataku. Aku harus telefon adiknya sebaik sahaja aku letak noktah pada catatan ini. Itulah sahaja caranya aku mengubat rindu pada mama... dengan berbual dengan adiknya.

Aku ingin sekali dakap mama. Sudah lama aku tak cium tangannya. Aku ingin berkunjung ke teratak bonda YM Raja M kerana dia juga sudah seperti mamaku. Aku juga rindu pada nenda, YM Raja H. Aku tak seharusnya menjauhi mereka kerana entah sampai bila kami semua wujud di alam fana ini. Bertahun sudah aku tidak pergi ke wilayah itu... jadi malu sendiri untuk bertemu semula dengan kerabat-kerabat di sana....

Aku suka dengan bonda encik BB. Aku berharap dia sudi menumpangkan kasihnya buat aku. Selalu aku beritahu encik BB aku ingin pinjam mamanya jadi mamaku, dia sambut dengan gembira. Tetapi... sudikah mamanya menerima aku sebagai anaknya?

Sedari kecil hinggalah menginjak dewasa, mama menyediakan segala keperluan aku. Mama pastikan aku ada semua yang aku perlu. Biarpun aku dididik menjadi seorang yang berdikari tetapi mama tidak pernah sekali gagal dalam memastikan aku cukup segala keperluan. Mama sentiasa ada dan mama tidak pernah sekali mengecewakan aku...

Tiap kali aku memasak di dapur, aku lihat cutting board yang putih bersih... itu hadiah dari mamaku. Aku lihat juga sudip besi kesayangannya (satu-satunya sudip besi dalam rumah aku), dinner set, fridge...everything... setiap benda yang aku sentuh, semuanya mengingatkan aku dengan mama. Mama bijak meninggalkan kenangan buat aku... berselawatlah, bersedekahlah padanya tiap kali aku sentuh pemberiannya... MAMA I MISS U MUCH!!

Aku harus tulis juga betapa abah sedang menanggung rindu yang amat. Sejak mama pergi abah bukan lagi lelaki yang kelakar, bukan lagi abah yang suka bercerita. Abah juga rindukan mama, lebih dari aku. Aku selalu berdoa semoga Tuhan kurniakan kesihatan yang baik buat abah, kurniakan dia sekeping hati yang tenang dan bahagia.

Sebahagian kebahagiaan hidup telah hilang saat mamaku pergi... aku dah takde tempat nak mengadu kalau aku susah hati. Aku nak mengadu pada siapa lagi? Sudahnya semua aku telan sendiri... sukarnya hidup tanpa mama....

Gosh! Kenapa aku menangis lagi...

Tuhan, apakah ini yang Kau inginkan buat aku? Hidup dalam kesedihan yang panjang?
Aku mohon, Kau kembalikanlah sinar hidupku... aku ingin ketawa lagi, tersenyum... dan rasa bahagia...

Satu pesan mama yang aku pegang: andai dia datang lagi, jangan beri dia ruang..Dua kali dia bukan untuk kamu, tiga juga belum tentu jadi milikmu...

Justeru setelah mama pergi, aku benar-benar dalam kesedihan. Tuhan telah ambil semua orang-orang yang aku sayang dan perlu dalam hidup... tinggal la aku sepi sendiri di daerah asing ini.

:(

Lelaki, lelaki itu...

~NH~
Ketika aku baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia pekerjaan, aku ada satu kenangan yang manis bersama sahabatku, Isya. Aku ada banyak kenangan manis dengan Isya sebab kami duduk bersebelahan. Aku dan Isya ada banyak cerita dan kami selalu ketawa.
Satu hari ada lelaki menelefonku. Namanya N, dari Kuala Lumpur. Bertugas sebagai seorang pegawai kerajaan di sebuah agensi yang berkait dengan sinar-sinar dan atom-atom. Tidak ada kait mengait langsung dengan kerjaku (kecuali dengan seorang pegawai sinaran di pejabatku.)
"Saya nak kenal dengan awak boleh tak?" tanya dia.
"Saya tak kenal awak..." jawabku.
"Sebab itu saya nak kenal dengan awak." jawabnya pula.
"Mana awak dapat nombor telefon saya?"
Rupanya tanpa aku sedar seminggu yang sudah ada orang meneropong aku di pejabat tetapi dia bukan N. Dia kawan si N. Kawan si N inilah yang memandai-memandai memberi nombor telefonku kepada N.
Maka bermulalah episod perkenalan kami. Korek punya korek rupanya si N ni teman sewilayah Isya di Mersing. Setelah panggilan demi panggilan dibuat, kad demi kad dihantar kepadaku maka tibalah waktunya untuk aku dan N bertentang mata. Tentunya Isya yang jadi dayang pengiring aku. Bertempat di sebuah kedai makan, aku dan Isya jumpa N dan sahabatnya.
Wah! N datang dengan motor BESAU! Helmet fullface lagi. Isya dah mula usik-usik aku. Habislah kau tertonggeng naik motor besar tu... hahaha
Tapi part yang paling kelakar... bila si N buka helmetnya... aku terus bisik pada Isya,
"Sya... dia gelaplah...aku tak nak!!"
Hahahahha.... teruknya aku.... Isya ketawa guling-guling gelakkan aku. Jahanam betul! Tapi lepas jumpa tu aku dan N masih berkawan dan berhubung. Cuma hubungan kami terhenti bila N menyokong Anwar Ibrahim dan mengutuk tanah kelahirannya sendiri. N kata orang Johor bodoh sebab pilih UMNO. N lupa pada sejarah.
p/s: N ini bukan N yang itu. Rob pula kata jodoh kau memang dengan orang gelap, sebab encik BB kau gelap. Parahhhhh!!!
~MN~
"Cakap dengan budak tu toksah berlagaklah dengan aku. Ingat dia baru balik dari US, orang heran ke?"
Dalam hati anti gila dengan mamat yang pakai baju dan seluar gedoboh tu. Lagi besar baju dari badan. Dia pakai rantai manik kat leher dan juga tangan. Jantan ke pondan?
Isya ni pun satu, buat baik pulak dengan mamat tu. Bencilah aku! Isya saje jek buat hati aku sakit. Makin dia interview macam-macam mamat berlagak tu. Aku terpaksa tahan telinga dengar depa berbual.
Hari demi hari berlalu. Benci sudah hilang datanglah pula teman. Ke mana sahaja berdua dengan mamat berlagak itu. Pergi HP cari kasut dengan dia, pergi Levi's cari seluar dengan dia. Masuk Triumph pun dengan dia. Pendek kata siang malam dengan dia.
"Eh! makwe kau tak marah ke kau keluar dengan aku?"
"Dia kat KL. Yang kau ni, pakwe kau tak marah ke kau keluar dengan aku?"
"Dia kat Indon!" Dalam hati berkata, he never cares bout me.
"Aku suka rambut kau. Lurus dan panjang. Aku suka perempuan rambut panjang." katanya.
"Aku tak suka lelaki pakai seluar pendek macam kau. Macam apek." kataku. Kami ketawa.
"Aku suka mata kau... kuyu dan stim macam orang ngantuk."
"Alah... nak kata mata aku besar, cakap ajelah!" balasku.
"Aku ambil gambar kau boleh?"
"Jangan! nanti mak kau marah kau simpan gambar aku." Thus, there is no picture of us together!
Sampai waktu untuk berpisah, kami berpisah begitu aje tiada terpalit rasa sedih mahupun kecewa. Dia orang yang gila buat aku selalu ketawa, justeru saat dia ingin pergi pada yang berhak, aku lepaskan dia dengan rela.
Banyaknya N untuk perempuan ini. Pening sudah!!!
Bagi seorang perempuan yang membesar dengan saudara lelaki yang ramai, aku jadi sangat senang dengan lelaki. Kadang aku tak perasan pun tindakan dan tuturku telah menambat lelaki itu lalu jatuh hati pada aku. Sebagaimana aku dan saudara-saudara lelakiku, begitulah aku dengan teman-teman lelakiku. Kasar dan very direct.
"Kau suka aku ehh?" tanyaku dengan berani.
"Kau simple dan sweet." Itu bukan jawapan!!!
"Oh! aku memang macam ni. Apa yang kau nampak, itulah yang kau lihat dan itulah aku."
Berbelit macam ular bila bercakap.
"Kenapa kau suka jalan belakang aku?"
"Sebab aku kena pastikan kau selamat..."
Hahhh... iyelah tu. Macamlah aku tak tahu apa lelaki lihat kalau dia berjalan di belakang perempuan. Aku cucuk mata kau nanti baru tahu! Kalau dah namanya lelaki, baik macam mana pun dengan kita mesti mata dia orang tu jahat dan meliar aje. Mujur aku tak sumpah mata kau jadi mata batu... hak hak hak...

Monday, March 16, 2009

Odisi Bulan Biru

Sape nak beli OBB dengan TT encik penulisnya yang ramah lagi bijaksana tu...sila email saya...

Free postage within Malaysia, RM18.00 jek!

Thursday, March 12, 2009

Sampul indah buat si dia...

Kelmarin aku baru terima layout cover RHS, sangat cantik, mengujakan dan punya cerita.

Pada mulanya aku inginkan covernya dihiasi dengan kotak bentuk hati dengan petal-petal ros yang bertaburan, tetapi tidak dapat diimaginasikan oleh sang pelukis sebagaimana kehendak aku. Maka aku disuruh fikirkan benda yang lain pula... apa yang dekat dalam hatiku?

Jawabnya tentulah bunga. Bunga lagi! Dulu LBN ada bunga LILI, kali ini RHS ada bunga lagi. Bunga apakah itu?

Itulah dia bunga EUSTOMA.

Kenapa pilih Eustoma?

Kerana Eustoma banyak digunakan dalam gubahan perkahwinan dewasa ini. Baik sebagai pengiring hantaran, penghias pelaminan mahupun bunga pengantin. Bagi aku Eustoma adalah lambang cinta ~ selain ros dan lili tentunya.

Biarpun Eustoma langsung tidak disebut di dalam RHS, namun aku merasakan ia sangat relevan untuk dijadikan penghias kulit Rahsia Hati Sofia kerana kecantikan dan ketulusan bunga itu. Aku membayangkan Jihannur Sofia secantik dan seindah Eustoma, walaupun tidak berbau... tetapi tetap menarik hati (seperti watak Jihannur Sofia itu sendiri)

Buat tatapan teman-teman Tinta Hati... TARAAAA...

Tuesday, March 10, 2009

Me and Coffee

Dear Illy,
You didn't tell about your new venture.. I stumbled into it on my descent from Long Beach in Perhentian Kecil..
The evidence is attached.
Azhar


This one spotted at Cape Town Airport... hhehehe... meluas sungguh bisnes kopikau aku... hahaha

Saturday, March 7, 2009

Bukan Musim Bunga...


kalau orkid bulan datang musimnya pasu itu pastinya dihiasi dengan kembangnya yang indah...

Thursday, March 5, 2009

Kenapa ya...

Aku sakit ke?

Jantung aku sekarang macam dah tak tenang. Degupnya luar biasa seolah-olah sampai terpapar di dada sepertinya jantungku sedang takut. Kenapa ya?

Mama selalu cakap, zikir itu pengubat jiwa. Lantas aku berzikir dan berzikir, jantung tetap mahu berdegup laju. BERITAHU AKU ayat apa lagi yang harus aku baca agar jantungku tidak takut lagi. Surah At-Taubah? Empat Qul? Doa Nabi Yunus? Ayat Kursi? Zikir? Atau aku harus lagukan keseluruhan ayat-ayatNya?

Aku semakin jauh ke?

Aku mengaku, aku dah lama tak pegang kitab itu. Macam penat sangat bila balik kerja, macam dah tak larat sangat lepas solat harus cepat-cepat lipat sejadah dan telekung. Aku baca doa ringkas di penghujung solatku. Tiada lagi doa-doa panjang, tiada lagi bermohon lebih dari Nya.

Ya Tuhan, kenapa aku jadi macam ni?
Di mana Iman yang sudah berjanji mahu menjaga aku?

Aku tidak pernah lupa pada Kamu, kerana hanya Kau sahaja yang mampu melindungi aku yang sedang sendiri ini. Hanya padaMu sahaja aku bermohon perlindungan. Berikanlah aku cahayaMu agar aku jadi hambaMu yang taat. Amin.

Someone, please help me.

Tuesday, March 3, 2009

Saya merajuk dengan orang itu!

Ya, saya merajuk dengan orang itu. Harap malam ini dia baca blog saya dan fahamkan isi entri ini. Khusus untuk awak, Encik BB.

Saya tak harus tulis entri ini dengan lebih details kerana tahu kedua keluarga membacanya. Jadi apapun kata tersurat dan tersirat hanya kita berdua sahaja yang akan faham.

Encik BB, saya betul-betul kecewa kalau awak memilih B sedangkan awak tahu saya mahukan A. Saya tak mahu mempengaruhi keputusan awak, awak berkuasa sepenuhnya keatas segala kemahuan diri sendiri, you may not to think bout others.

Cuma satu aje yang saya nak pesan (pesan, bukan ugut!);

duit banyak mana pun awak ada... tak mungkin dapat beli bahagia
duit banyak mana pun awak cari... tak mungkin akan pernah cukup
semakin awak kejar, semakin dia pantas berlari...
sampai suatu masa awak rasa penat... dan tak berdaya untuk mengejar lagi
tapi mungkin... kala itu semuanya sudah terlambat...

Cinta awak selalu,
N.A.

Update on 5th March

OTW ke Senai tadi aku call dia, dia cakap ada dua berita. Satu sedih satu gembira. Lantas aku cakap pada dia, beritahu aku berita sedih itu dahulu, tapi dia jawab yang apa ditunggu telahpun tertunai sudah. Itu bukan jawapan yang aku tuntut.

Ketahuilah... bahawa berita sedih itu untuk aku, tapi berita bahagia untuk dia...

Monday, March 2, 2009

Bayu Tasik V

Lia Sarah nampak Nizam menghala ke kedai dobi. Dia buat tak tahu. Sombong. Nizam pun buat-buat tak nampak. Sombong juga. Dua-dua jalan menonong, rumpun buluh jadi divider antara mereka.
“Cindy… baju saya dah siap?” tanya Nizam yang sampai dahulu di kedai dobi. Cindy yang matanya juling air terus menjawab, sudah. Nizam mengusiknya. Manja si Cindy disakat dengan bujang terlajak ni.
“Banyak wangilah saya punya baju Cindy sudah cuci…” puji Nizam bila Lia Sarah sudah sampai.
“Wangi macam Cindy…” sambung Nizam lagi.

“Cindy, I punya bedspread sudah siap?” celah Lia pula. Suka mencelah daripada terus tadah telinga dengar orang memuji tak kena tempat.
“Sudahlah amoi…” kata Cindy sambil mengeluarkan plastic berisi bedspread warna kuning cair.
“Balance simpan untuk next trip ya…” kata Lia Sarah sambil letak duit RM50 di atas kaunter. Kemudian dia terus pergi. Senget sebelah badan kerana terpaksa mengangkat muatan berat. Nizam tengok aje. Orang sombong tak boleh ditolong, ketawa hatinya.

Lia Sarah angkat bedspread itu dan dipeluknya. Langkah makin panjang menerpa ke pintu lif. Mujur unit apartmentnya hanya beberapa jengkal dari lif. Cepat-cepat dia tekan butang agar pintu segera terkatup. Nizam berhenti di hadapan lif. Mujur sempat brek kalau tidak tersepit hidungnya.

“Apa ni Lia!!” jerit Nizam. Lia Sarah mengekek ketawa.
“Tadi kau kenakan aku kan… padan muka!”

Lia Sarah tarik nafas panjang. Dia rindu nak bergurau dengan Nizam seperti tadi. Dia mahu jual mahal dengan lelaki itu, sakit dan luka di jiwanya tidak boleh diubati semudah Nizam membeli hati amoi di kedai dobi tadi.

Keluar dari pintu lif, Lia Sarah nampak ada tetamu tak diundang di hadapan pintu rumahnya. Dia tidak sempat untuk masuk ke dalam lif semula kerana tetamu itu sudah terpandangkannya. Empat mata jadi beku. Saling pandang dan tidak berkelip.

“Jangan lari lagi boleh tak?” tanya Nizam.
“Eh! Siapa yang lari dan siapa yang sembunyi ni?” balas Lia Sarah.
“By the way, I nak masuk dan tetamu lelaki tidak benarkan sama sekali.” Sambung Lia Sarah lagi.
“I bukan nak masuk pun…” jawab Nizam. Celaka! Terkena aku.
“I Cuma nak pulangkan duit baki ni pada you. Cindy kata dia tak terima advance payment.”

Lia Sarah cepat-cepat buka pintu dan masuk. Tebalnya muka macam tembok pagar di luar sana!

Pinggan tak retak
Nasi tak dingin
Kau tak nak...
Aku pun tak ingin!

 
Designed by suckmylolly.com