Friday, December 16, 2011

Another hectic weekend (Bonus! Desir Dua Hati: 14)

Kerja sangat, sangat, sangat banyak. Series of inspection seems never stop buat kaki macam nak tercabut. Kurus tak juga!

Haih... esok kami nak ke Boston lagi tapi kena pi KL dulu sebenarnya. Meeting family kat The Legend, makan-makan, menang-menang, cuci mata dekat Parkson bawah tu kendian barulah ke Bangi. Kita tak jadi tengok konsert Search sebab orang itu busy banget, takpe next time! I frust! I dah terlepas konsert kat Larkin aritu (pasal apa ekk tak pergi, ingat tak?)

Kat ofis I ada cerita gila. Mana tak gila bila ada orang yang takde pangkat pun buat perancangan jahat nak transfer colleague dia. Sesuka hati dia jek kan buat evil plan macam tu, siap pakat dengan assistant manager yang semua orang tahu agak *@#$% tu supaya ambil budak ni masuk kat department kawan I. Ingat kawan I ni apa, buta-buta nak terima assistant? Dia ingat dia GM ke, boleh transfer orang sesuka hati... (teringat kawan baik dia yang nangis macam mati suami mintak transfer bila Spongy suruh pindah dulu, macamlah ada department lain nak kat dia)

Berhenti buat kerja jahat boleh tak? Berhentilah memalukan diri sendiri. Sepanjang aku kerja kat sini, aku tak pernah jumpa perempuan sejahat ini. Yes, aku cakap dia jahat. Dia memang jahat!

Okay, enough la tulis dua perenggan pasal orang JAHAT. Aku ada 10 hari untuk siapkan Desir Dua Hati, korang nak baca tak sambungan DDH?

Aku bagi sikit la ekk... bab 14?

Happy reading all and have a pleasant weekend ahead.
Much Love,
Naz

14

Ahmad Zahrin

AKU AMBIL cuti tiga hari semata-mata untuk bersama dengan Medina di rumah. Dia nampak lain sejak pulang dari JB. Mummy pula tiap hari menelefon kami bertanyakan khabar dan aku semakin senang dengan mertuaku ini kerana dia tidak lagi menekan aku dan bertanyakan bilakah aku mahu berterus terang dengan keluarga. Buntu kepala aku kalau hari-hari dipaksa, memanglah salah aku berkahwin lagi tanpa izin daripada Aiza tapi bukankah itu lebih baik daripada aku melakukan perkara keji?
Atas sebab itu juga aku mencatit dan menyusun kesemua sebab musabab yang logik lagi bernas sebagai persediaan aku berhadapan dengan Aiza nanti. Cuma bila waktunya sahaja aku tidak pasti, mungkin selagi aku tidak bersedia mental dan fizikal agaknya selagi itulah waktu untuk berhadapan dengan Aiza dan berterus-terang padanya tidak tiba.
“Rin.” Panggil Medina. Dia baru keluar dari bilik.
“I nak pergi berenang kat bawah la.” Oh! Patutlah dia bawa beg Nike yang selalu diusungnya ke gimnasium. Aku sudah fikir Medina mahu lari tadi… tapi takkanlah dengan beg sebesar itu, yang cuma muat beberapa helai baju nipis dan seluar sukan.
“I nak ikut boleh?”
“Kalau tertangkap?”
“Dah tertangkap nak buat macam-mana lagi, hadap ajelah.” Seingat aku Vista Amani ini aman daripada kaum keluarga juga handai taulan aku juga Aiza. Sudah kami survey awal-awal lagi sebelum Medina menyewa di sini.
“Tunggu I sekejap, I pun nak berenang.” Mana boleh aku biarkan Medina berenang sendirian. Daripada lelaki lain yang berenang berirama dengannya baik aku sahaja yang menjadi duyung mengekori Medina dari tebing ke tebing kolam.
Medina jalan mendahului aku di hadapan, dalam baju-tnya yang longgar itu aku perasan Dee macam dah berisi sedikit. Sejak balik ke Malaysia yang mewah dengan makanan ini, Medina tak pernah culas memenuhi waktu makannya tapi dia juga rajin bersenam. Lihat sahaja petang ini, baru sihat sedikit sudah mahu berenang pula.
Medina memang macam itik yang sukakan air. Dia tidak lama-lama di tepi kolam, sebaik sahaja dia membasahkan badannya dia terus sahaja turun ke dalam kolam dan berenang. Aku masih berkira-kira untuk turun ke dalam kolam, sejuk!
“Dee, you macam dah gemuk sikit.” Sebutku bila Medina keluar dari kolam. Aku balut tubuhnya dengan tuala besar.
“You tak suka I gemuk ehh?”
“Janganlah gemuk sangat.”
“Kalau nak yang kurus pergilah cari yang lain.” Rajuk Medina. Eh! Kesitu pula dia.
“Bukan macam tu… you kan jenis tak boleh berat you naik walaupun sepuluh gram. I Cuma ingatkan aje, bukan merungut.”
Susahnya bila sudah tidak boleh bergurau dengan Medina, kalau dahulu cakap apa sahaja dia tidak pernah ambil hati. Kita cakap sikit sahaja tapi rajuknya berminggu-minggu.
“You tu perasan tak perut dah bulat? Dah berapa lama tak ke gim? Sejak puasa sampai dah nak masuk musim haji ni you tak pergi gim kan?” Aku meraba perutku yang Medina kata sudah bulat, betullah macam ada bukit kecil. Dahulu leper!
“Betullah you cakap Dee. Baru perasan yang I ni dah boroi.”
“Sibuk mengata orang, diri sendiri tak sedar. Dah tu ikut I ke mari tapi tak basah kenapa?”
“Saja aje nak jadi bodyguard tak bergaji you.”
Betullah Medina dah semakin berisi. Pipinya sudah nampak tembam sedikit. Hmmm… agaknya dia stress kebelakangan ini dan selera makannya berganda. Eh! Tapi bukankah baru-baru ini Medina rajin berpuasa?
“Rin, nanti you pergi beli corned beef boleh tak? I teringin nak makan corned beef  tumis dengan bawang dan cili padi, kering-kering lepas tu makan dengan nasi panas. Teringat masa I kecil dulu, mummy selalu masak macam tu sebab ayah suka makan corned beef.” Kata Medina. Aku lihat dia telan air liur.
“Boleh juga tapi I beli yang ada jual kat Carrefour tu aje boleh? Ramly ke, Saudi ke, Ayamas ke?”
“Boleh asalkan ada logo halal Jakim.”
“Okey… lepas I hantar you naik ke atas, I keluar kejap. Ada benda lain nak beli tak?”
“You nak makan apa, you belilah nanti I masakkan tapi kalau you boleh belikan I taucu yang dalam botol tu, I nak yang whole beans bukan yang jenis paste tu.” Sebut Medina lagi.
“Nak masak apa pula tu?”
“Lama dah tak makan ikan bilis masak sambal taucu…potong bawang dan cili padi lepas tu letak taucu, huuuu… sedapnya Rin!”
Sepesen aje yang Medina nak masak. Semuanya ditumis dengan bawang dan cili padi. Aku pun tak pernah makan apa yang Medina sebut tu tapi ikutkan sahajalah selera orang sedang merajuk ini… layan ajelah. Biarlah dia nak gemuk lima enam kilogram pun nanti kalau hubungan kami dah pulih seperti biasa, aku kerah Medina berlari di Taman Tasik Permaisuri tu hah!
“I nak masuk dalam kolam baliklah. You kalau setakat berjemur aje baik you pergi Carrefour sekarang, nanti bila I dah balik rumah you pun dah siap beli barang.” Suruh Medina. Laaaa… aku ingat dah berbungkus tuala tebal ni dia hendak balik ke rumah, berhajat menjadi duyung lagi rupanya.
“Okey-okey baiklah Princess Ariel, I pergi Carrefour dulu.”
Drive carefully Rin.”
“Taklah I nak naik motor aje. Seminggu ni motor tu tak bergerak langsung.” Macam mana nak bergerak kalau KL asyik hujan sahaja. BMW K1300R itu Medina gelar isteri ketigaku. Puas aku pujuk Medina, minta izin daripadanya untuk beli kuda besi ini, susah betul Medina nak benarkan aku beli walhal bukannya aku guna duit dia pun. Medina tidak suka aku menunggang motor, katanya bahaya. Aku tahu Medina sayang aku, dia tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku ke atasku. Namun aku tahu Aiza juga sayang padaku biarpun dia tidak cakap banyak ketika aku beritahu dia tentang hajatku mahu berbinikan Beemer dua roda ini, ahaks!



Macam ini rupanya masakan Medina. Corned beef yang aku beli tu betul-betul dia tumis dengan bawang merah, bawang putih dan cili padi. Merah dan lazat. Baunya tak usah cakap, memikat perutku yang semakin membulat ini. Medina goreng ikan bilis letak kicap pun aku berselera makan, entah apa rahsianya aku pun tak tahu.
“Dee, bukankah tak elok kalau kita masak seafood dengan daging sekali?” walaupun sebenarnya aku sudah terliur lihat ikan bilis yang digoreng bersama cili padi, bawang besar dan taucu. Bertambah selera makan aku tambahan pula ada sayur bayam masak bening. Medina memang pandai menyediakan menu.
“I tahu… tapi I dah lama nak makan macam ni. Tak boleh tahan lagi dah. Ingat balik JB hari tu nak minta mummy masakkan sekali kena belasah pula.”
“Dee…”
“Ya.”
“Jangan sebut lagi fasal tu boleh tak? I rasa bersalah sangat pada you bila you bangkitkan perkara ni. I minta kita jangan cakap apa-apapun yang berkaitan dengan kes tu, kalau nak cakap pun tunggu lepas kita habis makan.” Aku lihat Medina hendak menyambung ayatnya tadi lalu aku potong kata-katanya.
“Weekend ni balik Alor Setar tak?”
“Kalau I tak balik you ada rancangan ke?”
“Baliklah… kan giliran you jumpa Aiza dan anak-anak.”
“I dah janji nak jaga you sampai you sihat sepenuhnya. Nanti I beritahu Aiza yang I ada kerja kat sini.”
“Tak apa, you baliklah lagipun I ingat I nak berehat kat sini aje.”
“Ikut I balik Kedah nak?”
“Hisyyy… you dah bersedia nak beritahu Aiza ke?”
“Bukankah itu yang you nak Dee?”
“Ya, memang itu yang I mahu tapi kalau apa yang I nak itu menyusahkan you, tak buat pun tak apa Rin. I tak mahu susahkan you.”
Kenapa Medina mengubah kehendaknya? Apakah dia fikir Aiza akan membelasah aku sebagaimana mummy memukulnya tempohari? Pukul tak kut tapi potensi kena tembak itu ada kalau-kalau Syed Amri hilang pertimbangannya kalau dia tahu aku telah memadukan kakaknya. Entahlah semua ini diluar dugaan dan jangkauan akal manusia, kita tak akan tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
“Telefon you bunyi Dee.”
“Tolong ambilkan boleh Rin?”
“Eeeee…berat sungguh punggung tu.”
“Tengah makan tak boleh berjalan sana sini nanti suami ramai, you tu lainnya memang sudah beristeri dua.”
“Habis tu you nak I tambah jadi tiga ke?”
“Eh! Bukan dah tiga ke?”
“Adoi yang dua ni pun sudah setengah ajal, lagi nak tambah?”
“Beemer warna oren tu bukan wife you nombor tigakah?”
“Sayang, Beemer 2 roda itu teman I menunggang aje, lagipun dia tak ada telinga, tak boleh dengar luahan  perasaan I.” Tergelak aku dengan kenyataanku sendiri. Aku ambil telefon Medina yang dia letak di atas sofa. Aku lihat nama Aiza terpampang di skrin. Aku buat tanda senyap sewaktu aku menyerahkan telefon itu kepada Medina.
“Aiza.” Sebutku.
Medina letak telefon bimbitnya di atas meja dan dia tekan butang speaker phone.
“Dina, maaf akak telefon waktu Dina tengah makan, akak SMS Dina tak balas.” Kata Aiza.
“Tak perasan ada SMS masuk kak…sibuk kat dapur, itu yang tak dengar. Ada apa Kak Za?”
“Kain-kain pasang yang akak tempah tu Dina tak usah pos ke marilah, akak ingat nak suruh suami akak ambil daripada Dina aje, sekalilah dengan wristlet yang akak nak tu… kalau dah sampai.” Kata Aiza lagi. Medina pandang aku. Isyy… janganlah jeling aku macam tu, manalah aku tahu kenapa Aiza suruh aku pula yang ambil barang-barang dia. Biasanya urusniaga Aiza dengan Medina guna khidmat Pos Malaysia aje.
“Akak dah beritahu suami ke?”
“Belum, nanti akak beritahu dia. Boleh akak beri nombor telefon Dina pada Abang Zahrin? Apa-apa hal nanti senang dia nak telefon Dina.”
Medina menjelirkan lidahnya. Comel.
“Hmm… boleh, wrislet tu pun dah ada baru sampai pagi tadi, saya ingat nak kurier esok pagi.”
“Itulah sebabnya akak telefon ni, esok dan lusa akak ada urusan di Penang, takut kalau Dina pos ke Arau akak tak ada di sini. Alang-alang suami nak balik hujung minggu ni, bolehlah akak suruh dia bawa sekali nanti kami jumpa di Alor Setar aje.”
Amboi sukanya Aiza. Suka sebab aku nak balik atau suka sebab aku akan balik dengan kain-kain pasang dan beg tangan barunya? Kalau dengar Aiza dan Medina berbual di telefon, aku rasa bahagia sangat sebab mereka berdua kedengaran sangat rapat dan mesra. Kalaulah  Aiza dan Medina boleh terus jadi kawan baik seperti sekarang ini selepas Aiza tahu siapa Medina sebenarnya tentu aman bahagia hidup kami semua. Insya Allah. Amin!
“Ermm… bergaya sakanlah Kak Za lepas ni ya.”
“Ini semua sebab Dinalah, Dina yang baik hati simpankan stok-stok yang cantik untuk akak.”
“Apa sahaja yang boleh buat pelanggan saya gembira, saya akan cuba tunaikan.”
“Terima kasih Dina!”
Medina tersenyum. Senang aku lihat dia senyum begitu, aku tahu hatinya lapang dapat memuaskan hati pelanggannya, pelanggan yang istimewa.
“Abang Zahrin nanti tolong bawa balik kain-kain Kak Za ni ya, Dina dah siap bungkus semua. Jangan lupa letak dalam beg, takut terlupa pula nanti, kecil hati Aiza Abang Zahrin seorang itu.” Sindir Medina selepas dia habis berbual dengan Aiza.
“Abang ada Za seorang.” Ulang Medina lagi.
“Dee…”
“Abang ada Za seorang… abang tak perlukan orang lain. Bukan begitukah ayat yang sepatutnya Rin?” kata Medina lagi. Aduh, susahnya nak layan orang yang dah pandai merajuk ni.
“Kenapa kuat merajuk sekarang ni? Macam perempuan bunting sulung, merajuk entah apa-apa.” Kataku, tidaklah marah tapi aku nak Medina sedar apa yang dia cakap itu sebenarnya memberi implikasi yang tidak sihat buat dirinya sendiri.
“Ala merajuk dengan you pun bukan dapat intan berlian, tak ada faedahnya pun nak merajuk dengan you.”
“You nak intan berlian besar mana Dee? Besar macam Koh-I-Noor?”
“Tak payahlah Rin, nanti Aiza audit pulak you punya perbelanjaan, menyusahkan hidup you aje. Just forget it. I nak I boleh beli sendiri.”
Tengok tu. Itu ayat merajuk lagi. Medina ni kenapa ya?
“You ada duit ke Dee nak beli Koh-I-Noor? Kalau banyak sangat duit belikan I sport-rim Beemer boleh?” aku sengaja menduga Medina, aku tahulah berapa banyak duitnya di bank, selalu aku intai tiap kali Medina melakukan transaksi di atas talian dan mana mungkin Medina boleh beli Koh-I-Noor, berlian yang dirampas oleh Inggeris daripada perbendaharaan tanah jajahannya di India dan dirampok lalu disimpan menjadi milik sendirian berhad tanpa rasa segan silu. Berlian besar itu kini melekat pada mahkota Ratu England, entah bila agaknya mahu dikembalikan pada India!
“You ada nampak I pakai barang kemas ke?”
“Cincin kahwin kita pun you tak sudi pakai.”
“Dah tu yang I nak beli berlian buat apa?” tanya Medina lagi. Laaah… tadi dia juga yang sebut nak beli sendiri.
“Kenapa you tak mahu pakai cincin yang I beri tu Dee? Rantai hari tu pun you tak pakai, kenapa Dee?”
“Kita bukan orang India, kalau putus thali maka putuslah ikatan perkahwinan itu jadi pakai atau tidak cincin kahwin bukan masalah pun. Hubungan kita cuma akan terlerai apabila you lafazkan cerai pada I dan kalau you nak balik cincin tu lepas you ceraikan I pun boleh, berilah pada Aiza abang seorang tu.”
Medina angkat pinggannya dan terus menuju ke sinki. Dia makan tak habis pun, selalunya Medina akan makan sampai bersih pinggan (tabiat Medina yang diasuh keluarga supaya menghabiskan makanan, jadi dia tidak ambil makanan dengan banyak, sikit dan pastikan habis.)
“Dee, kenapa you asyik sebut fasal cerai aje? You tahu tak bercerai tak selesaikan masalah kita.” Bisikku di telinga Medina. Dia memusingkan tap sinki supaya aku dapat membasuh tangan. Kemudian aku bertenggek di atas kabinet dapur dan memerhati Medina melakukan kerjanya.
“Setidak-tidaknya satu masalah selesai Rin, masalah you.”
“I cakap fasal kita Dee, bukan fasal I seorang. Ini masalah kita berdua. Kalau kita bercerai, apa akan jadi pada you? Siapa nak jaga you? Shaf boleh terima you kalau dia tahu status you selepas ini? Keluarga you yang lain boleh terima?
Fikir panjang Dee, jangan turutkan hati you yang merajuk itu. Bersabarlah… kalau kita sanggup buat benda ni berdua, kita sepatutnya sanggup berdua dan bersatu menghadapinya bukan dengan membawa haluan masing-masing.”

  

2 comments:

nurulafifah said...

xsabar nk tggu desir dua hati kluar...

aimie_afifah said...

Cik..terima kasih utk entry DDH...

 

Blog Template by YummyLolly.com - Sponsored by Free Web Space